Sukan SEA Kemboja: Emas 100m wanita hampir mustahil

Astro Arena
April 3, 2023 05:00 MYT
Bulan lalu, Zaidatul menganggap pelantikan Poad membawa impak positif terhadap teknik lariannya kebelakangan ini. - Foto Astro ARENA
ATLET pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, mengakui sukar untuk mengungguli acara 100 meter Sukan SEA 2023, apatah lagi dengan kelibat juara bertahan, Kayla Richardson, dari Filipina selain bintang baru Singapura, Shanti Pereira.
Zaidatul menjelaskan bahawa catatan masa Shanti dalam Terbuka Australia minggu lalu iaitu 11.38 saat bukan saja memberinya bayangan kilauan pingat emas dalam temasya dwitahunan di Kemboja itu bulan depan, termasuk emas Sukan Asia pada September depan.
"Catatan yang dilakukan Shanti mampu melayakkannya memenangi Sukan Asia.
"Dia membuat persiapan rapi di Australia selama dua bulan selain New Zealand, sebulan.
"Dia memiliki kelebihan daripada segi ketinggian.
"Kemampuannya sangat berbeza dari dulu, kami pernah bertanding dalam beberapa kejohanan kecil.
"Tak sangka dia boleh melakukan catatan sangat-sangat hebat sebegitu," katanya.
Bulan lalu, Zaidatul Husniah menganggap pelantikan Poad Kassim membawa impak positif terhadap teknik lariannya kebelakangan ini.
Justeru, dia sedar apa yang perlu ditingkatkan bagi memberi cabaran dalam Sukan SEA kelak.
"Saya akan ubah teknik larian dan tingkatkan ketahanan pecutan sebab saya akan bermula dalam acara 200m.
"Jadi saya perlu bekerja keras membuat persiapan," katanya.
#Sukan SEA #Zaidatul Husniah Zulkifli #acara 100 meter #Poad Kassim
;