Sukan SEA: Kem pelayaran capai sasaran dua emas, pulang dengan senyuman

Bernama
Mei 8, 2023 20:36 MYT
Gandingan negara itu berada di kedudukan teratas selepas 12 perlumbaan pada hari kelima saingan semalam. - Gambar Sinar Harian
PHNOM PENH: Skuad pelayaran kebangsaan mampu pulang dengan senyuman selepas mencapai sasaran dua pingat emas di Sukan SEA 2023 pada hari terakhir saingan di Sihanoukville Boulevard dalam Wilayah Sihanoukville yang terletak kira-kira 200 kilometer dari sini.
Dua emas itu masing-masing disumbangkan Muhammad Hafizin Mansor dalam kelas RS:X dan Izry Hafiezy Fitri Azri menerusi kelas RS: One selepas kedua-duanya mendominasi saingan sejak hari pertama perlumbaan pada Selasa lepas.
Bagaimanapun, kem pelayaran terpaksa melupakan hasrat mencipta sensasi selepas terlepas dua emas apabila gandingan Abdul Latif Mansor-Muhammad Dhiauddin Rozaini dalam kelas 29er dipintas pada saat akhir yang menyaksikan mereka meraih perak.
Gandingan negara itu berada di kedudukan teratas selepas 12 perlumbaan pada hari kelima saingan semalam.
Dalam pada itu, Malaysia turut mengutip empat gangsa masing-masing menerusi Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri dalam kelas ILCA 6, Muhammad Asnawi Iqbal Adam (ILCA 4), Muhammad Faizal Ahmad Asri (ILCA 7) dan gandingan Muhammad Hilfi Nafael Mohd Hasrizan-Sara Amanda Mohd Noor Azman dalam kelas Optimist Campuran.
Pengurus pasukan, Muhammad Fariz Idham Mat Zaki berkata pencapaian di Sukan SEA kali ini ibarat batu loncatan buat para atlet untuk pergi lebih jauh dan meraih kejayaan lebih tinggi pada masa hadapan.
"Saya harapkan selepas ini kita cuba buat yang terbaik dalam temasya akan datang dan terus membangunkan sukan pelayaran di negara.
Untuk jangka masa panjang kita akan berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik yang tidak mustahil dilakukan sekiranya kita mempunyai kualiti atlet yang bagus," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Dalam pada itu, beliau menyeru barisan atlet yang tidak berjaya memenangi emas atau sekurang-kurangnya mencapai sasaran peribadi supaya tidak kecewa.
"Bagi saya pingat adalah nombor dua, saya tahu ada atlet yang rasa kecewa sebab tak capai sasaran tetapi mereka tetap membanggakan," katanya.
Untuk rekod, skuad pelayaran negara gagal membawa pulang emas apabila hanya satu perak dan lima gangsa berjaya diraih pada edisi 2019 di Filipina sebelum pelayaran tidak dipertandingkan pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #emas #mencipta sensasi #gandingan negara
;