Sukan SEA: Kejayaan raih 145 emas bawa kegembiraan berganda - PM Najib

Bernama
Ogos 31, 2017 08:52 MYT
Para atlet 11 negara peserta berarak masuk sempena majlis penutupan rasmi Sukan SEA ke 29 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. -- fotoBERNAMA
Kejayaan atlet Malaysia meraih 145 pingat emas sekali gus menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) membawa kegembiraan berlipat ganda buat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata kejayaan itu menggembirakan negara yang menggalas tugas sebagai tuan rumah KL2017, dan lebih bermakna apabila ia dicatatkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2017 pada Khamis.
"Ini sebenarnya bukan double joy (kejayaan berganda) tapi triple joy (kejayaan berlipat ganda)... kemenangan berganda-ganda.
"(Sebanyak) 145 pingat emas daripada 404 pingat emas dipertandingkan, 35.9 peratus daripada semua pingat emas (menjadi milik Malaysia) menjadikan Sukan SEA Ke-29 yang paling berjaya bagi Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis penutup Sukan SEA dan Ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Najib berkata apa yang lebih menarik adalah apabila 30 daripada 145 pemenang pingat emas negara terdiri daripada generasi muda yang masih berada di bangku sekolah.
Menzahirkan ucapan tahniah kepada semua wira dan wirawati negara, Najib berkata pencapaian negara itu perlu menjadi penanda aras bagi atlet untuk meraih kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
"Anda adalah juara kami, wira kami, kebangaan dan inspirasi kami. Sukan SEA telah membawa mood negara yang begitu positif," kata Najib yang secara bersahaja mengajak para sukarelawan untuk naik ke pentas bersama-samanya ketika beliau menyampaikan ucapan.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Khairy sebagai arkitek kepada kejayaan negara menganjurkan Sukan SEA dengan melakarkan mimpi menjadi kenyataan.
Najib turut menyampaikan penghargaan kepada persatuan-persatuan sukan, sukarelawan dan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada atlet kebangsaan sepanjang temasya dwitahunan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata sambutan Ambang Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil mencatat sejarah tersendiri, teristimewa dan luar biasa kerana buat julung kalinya diadakan di stadium berkenaan.
" (Pada) 31 Ogos 1957, kemerdekaan diisytiharkan di Stadium Merdeka. Hari ini, kita berada di Stadium Nasional Bukit Jalil, saya nak mengajak kita mengimbas semula Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil yang melambangkan transformasi Malaysia dan 60 tahun perjalanan hebat negara," kata beliau.
Sukan SEA Ke-29 merupakan pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan temasya itu apabila muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
--BERNAMA
#atlet #Hari Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #KL2017 #Merdeka #Najib Razak #penanda aras #pingat emas #Sukan SEA #sukarelawan #tuan rumah