Sukan SEA ke-30: Pakaian kebangsaan 'gah' merentasi Philippine Arena

Bernama
November 30, 2019 05:36 MYT
Perarakan kontinjen negara didahului pembawa bendera yang merupakan jaguh tenpin boling Muhammad Rafiq Ismail dan disertai 91 atlet dan pegawai yang dengan segak dan anggun mengenakan pakaian kebangsaan Malaysia. - Bernama
Sukan SEA ke-30 kini dengan rasminya telah bermula dengan berlangsungnya acara perasmian secara gilang-gemilang di Philippine Arena di sini, malam tadi.
Jelas terpancar semangat kesukanan, kekeluargaan dan warna warni negara-negara Asia Tenggara di sepanjang majlis berlangsung.
Seperti kelaziman, acara 'wajib' perasmian adalah perarakan masuk atlet-atlet negara dan malam tadi kontinjen Malaysia menjadi negara kelima masuk ke arena, dan berarak mengelilingi Philippine Arena selepas Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos.
Perarakan kontinjen negara didahului pembawa bendera yang merupakan jaguh tenpin boling Muhammad Rafiq Ismail dan disertai 91 atlet dan pegawai yang dengan segak dan anggun mengenakan pakaian kebangsaan Malaysia.
Berbaju Melayu putih, bersamping songket merah dan bertanjak corak Jalur Gemilang, laksana Laksamana Hang Tuah, barisan atlet lelaki tanpa mengira bangsa kelihatan segak dan gagah, sesuai dengan gambaran atlet Malaysia yang digeruni pencabarnya ketika dalam gelanggang.
Sementara berbaju kurung putih dengan sebahagiannya bertudung merah dan berselendang corak jalur gemilang bagi atlet wanita, jelas memancarkan lagi keanggunan wanita Malaysia, yang terkenal dengan sopan santun dan budi pekertinya namun tidak kurang hebat ketika beraksi.
Selepas Malaysia, perarakan diteruskan dengan kontinjen Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan diakhiri dengan wakil tuan rumah Filipina.
Kini tamat acara perasmian dan bermulalah misi atlet negara memburu pingat emas, dengan sukan polo mungkin memberikan pingat emas pertama negara, esok.
Diwakili 773 atlet merangkumi 326 wanita dan 447 lelaki, atlet negara memburu sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa yang jika dicapai, akan menjadi pencapaian terbaik Malaysia di Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.
Pencapaian terbaik negara pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur sebelum ini, di Sukan SEA 2007 Korat, Thailand dengan kutipan 68 pingat emas.
-- BERNAMA
#atlet #Filipina #Jalur Gemilang #kontinjen negara #Malaysia #Muhammad Rafiq Ismail #pakaian kebangsaan #pembawa bendera #perarakan masuk #perasmian #Philippine Arena #semangat kesukanan #Sukan SEA
;