Sukan SEA ke-30: Media, orang ramai dihalang sertai upacara nyalaan obor

Bernama
November 30, 2019 21:16 MYT
Petugas media dan orang ramai dihalang anggota keselamatan bertugas. -Bernama
Hasrat beratus-ratus rakyat Filipina menyaksikan nyalaan obor sempena upacara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-30 di Kompleks Sukan New Clark City, di sini, malam ini tidak kesampaian, apabila mereka dihalang daripada memasuki pekarangan kompleks berkenaan.
Lebih mengejutkan, petugas media yang membuat liputan Sukan SEA 2019 di kluster Clark dan Subic turut dihalang anggota keselamatan bertugas, yang mendakwa mereka mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berbuat demikian.
Bernama difahamkan sebahagian besar petugas media tempatan dan orang ramai, dikatakan telah menunggu sejak pukul 4 petang tadi, bagi memasuki Kompleks Sukan New Clark City, namun dihalang anggota keselamatan yang bertugas di pintu masuk kompleks sukan berkenaan.
Seorang anggota keselamatan yang enggan namanya didedahkan, mendakwa arahan untuk menghalang orang ramai dan petugas media yang hadir menyaksikan nyalaan obor berkenaan, adalah keputusan pihak atasan.
"Saya tidak tahu, tetapi kami terima arahan daripada pihak atasan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak untuk datang ke kompleks sukan ini untuk upacara nyalaan obor," katanya.
Upacara nyalaan obor Sukan SEA 2019 dijadualkan akan diadakan di Stadium Olahraga New Clark City yang terletak di dalam kawasan kompleks sukan berkenaan, yang turut menempatkan Pusat Akuatik dan Perkampungan Sukan Clark.
Upacara nyalaan obor berkenaan diadakan bersempena dengan upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2019 di Philippine Arena, Manila yang dijangka dirasmikan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
-- BERNAMA
#Clark dan Subic #Kompleks Sukan New Clark City #nyalaan obor #pembukaan rasmi #Stadium Olahraga New Clark City #Sukan SEA
;