Sukan SEA: Kad merah Nazmi, penyokong minta pemain kawal emosi
Madiha Abdullah
Mei 31, 2015 08:05 MYT
Mei 31, 2015 08:05 MYT
Antara yang menjadi perbualan hangat tentang perlawanan pembukaan acara bola sepak di Sukan SEA semalam adalah layangan kad merah kepada pemain negara, Nazmi Faiz Mansor.
Tiada 'foul', sebaliknya pemain tengah skuad B23 itu diarahkan keluar padang berikutan tindakannya meludah seorang pemain lawan selepas berlaku perlanggaran dalam perebutan bola.
Tindakan tersebut dikritik penyokong, apatah lagi ketika ramai meluahkan keyakinan seandainya Malaysia bermain dengan 11 pemain, keputusan yang lebih meyakinkan boleh diperolehi dalam perlawanan tersebut.
Jika dilihat pada peraturan permainan bola sepak, meludah pemain lawan merupakan salah satu kesalahan yang layak diberikan kad merah.
Ada juga penyokong yang menganggap tindakan pengadil terlalu tegas dan Nazmi sepatutnya hanya diberi kad kuning.
Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pula menyifatkan tindakan Nazmi itu sebagai tidak boleh diterima, jika benar ia berlaku seperti yang didakwa.
"Tanpa Nazmi tiada masalah kerana tiada bintang dalam pasukan ini. Jika dia benar melakukan kesalahan dan digantung beberapa perlawanan, saya akan hantar dia pulang ke tanah air," kata Kim Swee.
Pasukan negara dijadualkan menentang Vietnam dalam aksi seterusnya dalam merebut 'ibu segala emas' dalam kejohanan sukan dua tahun sekali itu.