Sukan SEA: Jinq En sumbang pingat tunggal pada hari pertama acara renang

Bernama
Mei 6, 2023 00:11 MYT
Jinq En menamatkan saingan acara 50 meter (m) kuak dada wanita di tempat ketiga dengan catatan masa 31.94 saat. - Gambar fail/BERNAMA
PHNOM PENH: Perenang berpengalaman Phee Jinq En menyelamatkan suasana suram skuad negara pada hari pertama acara renang Sukan SEA 2023 apabila menyumbangkan pingat gangsa di Pusat Akuatik Morodok Techo, di sini hari ini.
Tampil buat kali kelima pada temasya dwitahunan itu, Jinq En menamatkan saingan acara 50 meter (m) kuak dada wanita di tempat ketiga dengan catatan masa 31.94 saat.
Pingat emas dimenangi perenang Thailand Jenjira Srisaad yang merekodkan masa 31.22s mengetepikan cabaran wakil Singapura Letitia Sim di tempat kedua dengan catatan 31.65s.
Ketika ditemui pemberita, Jinq En ternyata berpuas hati dapat menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara.
"Ia satu permulaan yang positif dan saya berharap dapat melakukan yang lebih baik dalam acara seterusnya," kata perenang berusia 25 tahun itu.
Beliau berkata pencapaian itu juga berjaya mengatasi prestasi hambarnya pada musim lepas apabila gagal meraih sebarang pingat dalam acara berkenaan.
Sementara itu, perenang Malaysia yang lain gagal menempatkan diri di kedudukan podium dalam acara final 200m rampaian individu lelaki, 100m gaya bebas lelaki, 200m kuak kupu-kupu wanita dan 4x100m gaya bebas berganti-ganti wanita.
Hari pembukaan acara renang menyaksikan penguasaan perenang dari Singapura dan Vietnam.
-- BERNAMA
#Sukan SEA Kemboja #renang #Phee Jinq En #pingat gangsa
;