Sukan SEA: Jing Xuen cipta sejarah menang emas golf individu
Bernama
Mei 10, 2023 20:57 MYT
Mei 10, 2023 20:57 MYT
PHNOM PENH: Atlet muda Ng Jing Xuen melakar sejarah membanggakan apabila muncul pemain golf wanita pertama negara merangkul emas Sukan SEA selepas mengungguli acara individu wanita yang berlangsung di Kelab Golf Garden City di sini, hari ini.
Atlet berusia 15 tahun itu mengetepikan cabaran juara bertahan kejohanan Golf Amatur Asia Pasifik Eila Galitsky dari Thailand yang meraih perak sementara seorang lagi atlet negara Foong Zi Yu membawa pulang gangsa.
Terdahulu, Jing Xuen mengesahkan kilauan emasnya pada edisi ke-32 temasya sukan dwitahunan itu selepas menewaskan Galitsky dalam perlawanan "play-off" satu lubang apabila kedua-duanya terikat di kedudukan 13 di bawah par 203 selepas tiga pusingan.
Pada masa sama, Malcolm Ting merangkul perak acara individu lelaki dengan emas menjadi milik atlet Vietnam, Le Khanh Hung manakala rakan senegaranya Nguyen Anh Minh terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
Untuk rekod, Ervin Chang mencipta sejarah muncul selaku wakil Malaysia pertama memenangi pingat emas individu lelaki pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas.
-- BERNAMA