Sukan SEA: Jeng Tzan puas hati raih perak

Astro Arena
Jun 12, 2015 00:00 MYT
Jeng Tzan tidak disenarai untuk ke Sukan SEA Myanmar 2013 apabila badan induk sukan olahraga negara tidak yakin dengan kemampuannya untuk menyumbang pingat. - Foto Astro Arena
Atlet lempar cakera wanita negara Yap Jeng Tzan membuktikan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bahawa beliau masih berbisa kerana mampu menyumbang pingat pada temasya Sukan SEA ke-28 di sini.
Beliau meraih perak pada aksi di Stadium Nasional pada Jumaat.
Jeng Tzan tidak disenarai untuk ke Sukan SEA Myanmar 2013 apabila badan induk sukan olahraga negara tidak yakin dengan kemampuannya untuk menyumbang pingat.
Namun di sini beliau meraih perak selepas melakukan lontaran sejauh 46.95 meter, perbezaan 12.61m di belakang pemenang pingat emas Insaeng Subenrat dari Thailand (59.56m) yang berjaya memperbaharui rekod kejohanan yang dipegangnya iaitu 56.77m pada Sukan SEA Myanmar.
Pingat gangsa menjadi milik Hannah Lee yang mewakili tuan rumah dengan lontaran sejauh 45.72m.
Jeng Tzan, 28, berkata beliau gembira dengan kejayaannya itu kerana berjaya membuktikan sesuatu kepada pengurusan KOM.
"Saya rasa gembira dapat menang pingat namun kurang berpuas hati dengan jarak lontaran kerana gagal mencapai sasaran jarak 50.00m yang diletakan oleh jurulatih Frank Petrovic.
"Pingat ini boleh dikatakan sebagai hadiah untuk jurulatih saya kerana hari ini merupakan ulang tahun kelahiran beliau," katanya.
Beliau berkata beliau menghadapi banyak ujian dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini akibat kecederaan lama yang masih belum pulih sepenuhnya.
"Tadi ketika membuat lontaran saya rasa sakit pada lutut kiri, namun keinginan untuk menang memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan aksi sehingga lontaran keenam," katanya.
Katanya beliau berazam untuk mengatasi atlet bertaraf olimpik dari Thailand Insaeng Subnrat satu ketika nanti walaupun gagal mengatasi musuh tradisinya itu hari ini.
"Mungkin disebabkan terlampau tertuja untuk menang menyebabkan saya gagal untuk capai sasaran," katanya.
#olahraga #Singapura #Sukan SEA #Yap Jeng Tza
;