Sukan SEA: Izzah Amzan dapat semula pingat emas yang ditarik balik
Faris Danial Razi
Disember 10, 2019 16:13 MYT
Disember 10, 2019 16:13 MYT
Atlet gimrama negara, Izzah Amzan kini boleh tersenyum selepas pingat emas yang dimenanginya sebelum ini pada temasya Sukan SEA akan dipulangkan semula.
Perkara itu disahkan Ketua Kontinjen Negara Sukan SEA (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang memberitahu Izzah akan mendapat semula pingat yang dimenanginya dalam acara riben.
Menurut Megat, Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina (PHISGOC) menerima protes dikemukakan kontinjen Malaysia dan akan menambah semula pungutan pingat emas negara.
Ia selepas pihak penganjur bersetuju dengan klausa buku peraturan Sukan SEA dan akan memulangkan semula pingat yang seharusnya menjadi milik Izzah.
Sebelum ini, negara menerima tamparan yang bukan sahaja menimbul kemarahan buat kontinjen malah seluruh rakyat Malaysia apabila dikejutkan dengan tindakan penganjur yang menarik semula satu pingat emas yang dimenangi atlet gimrama negara Izzah dalam acara gimrama Sukan SEA.
Ekoran itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menegaskan, pihaknya tidak boleh bertolak ansur dan akan memprotes tindakan yang dibuat oleh penganjur.
Izzah kemudiannya diberikan pingat perak berdasarkan kedudukan pingat terbaharu yang disiarkan di laman web rasmi Sukan SEA Filipina sebelum ini.
Untuk itu, CDM menjelaskan bahawa penganjur sukan akan menambah semula pingat emas tersebut selewat-lewatnya petang ini.