Sukan SEA: Hoe Yean terlepas peluang rangkul emas kedua

Bernama
Mei 11, 2023 05:44 MYT
Hoe Yean ketika beraksi dalam acara akhir 400m Gaya Bebas Lelaki sempena Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, 11 Mei 2023. --fotoBERNAMA
PHNOM PENH: Perenang negara Khiew Hoe Yean terpaksa melupakan impiannya untuk membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA 2023 selepas menduduki tempat kedua dalam final 400 meter (m) gaya bebas lelaki malam tadi.
Pada aksi di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di sini, Hoe Yean, yang memenangi emas bagi acara 200m gaya bebas pada Selasa, perlu berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa tiga minit 50.39 saat (s) di belakang perenang Vietnam, Nguyen Huy Hoang yang memenangi emas dengan rekod 3:49.50s.
Pingat gangsa dimiliki atlet Singapura Glen Lim selepas melakar 3:53.78s, manakala seorang lagi perenang kebangsaan Tan Khai Xin menamatkan saingan di tempat terakhir dengan catatan masa 4:00.69s.
Keseluruhannya, Hoe Yean merangkul satu emas, dua perak termasuk acara 4x100m gaya bebas yang menyaksikan kuartet memecahkan rekod kebangsaan, dan dua gangsa masing-masing dalam acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan 200m kuak lentang.
"Secara keseluruhannya okey, saya puas kerana bawa pulang sesuatu untuk kontinjen Malaysia dan saya gembira dengan keputusannya.
"Satu emas daripada 200m gaya bebas, saya agak gembira dapat mempertahankan emas walaupun catatan masa tidak begitu hebat, namun banyak yang perlu dilakukan untuk menghadapi Kejohanan Dunia pada Julai dan Sukan Asia pada September," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di sini.
Sementara itu, dalam acara lain pada hari terakhir saingan renang, perenang negara gagal menyumbangkan pingat yang menyaksikan Low Zheng Yong dan Lim Yin Chuen masing-masing menduduki tempat keenam dan kelapan dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki.
Pada acara 50m kuak dada lelaki, Andrew Goh dan Bryan Leong masing-masing menamatkan saingan pada tempat keempat dan kelapan, manakala Kelly Teo dan Jia Yee Hooy masing-masing meraih tempat keenam dan kelapan pada acara 800m gaya bebas wanita.
Dalam pada itu, kuartet 4x100m rampaian wanita negara dibatalkan kelayakan berikutan kesilapan dilakukan seorang daripada perenang ketika aksi final.
Dengan acara renang melabuhkan tirainya semalam, skuad renang negara mengumpul satu emas, tiga perak dan empat gangsa, selain mencipta tiga rekod baharu kebangsaan masing-masing bagi acara 4x100m gaya bebas, 400m rampaian individu lelaki dan 4x100m rampaian lelaki.
Pungutan pingat untuk renang sedikit menurun berbanding edisi 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas yang menyaksikan Malaysia memenangi satu emas, empat perak dan dua gangsa.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Khiew Hoe Yean #perenang #acara gaya bebas
;