Sukan SEA: Harimau Muda mengamuk belasah Singapura
Sinar Harian
Mei 11, 2023 19:32 MYT
Mei 11, 2023 19:32 MYT
SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara menutup kempen Sukan SEA Kemboja 2023 dengan kemenangan 7-0 ke atas Singapura di Stadium Prince, Phnom Penh pada Khamis.
Perlawanan sekadar aksi pelengkap jadual itu menyaksikan Harimau Muda garang membuka tirai jaringan menerusi T Saravanan yang berjaya memperdayakan pertahanan Singapura sebelum melepaskan rembatan untuk jaringan pada minit ke-14.
Haqimi Azim menggandakan kedudukan buat skuad negara selepas menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Saravanan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Saravanan sekali lagi meledak gol selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan pada minit ke-48.
Pemain Kuala Lumpur City itu terus mengganas dengan dua lagi gol pada minit ke-53 dan ke-62 sebelum Mukhairi Ajmal meledak gol keenam negara pada minit ke-87.
Mohd Aiman Afif melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Muda dengan gol ketujuh pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Kemenangan itu sedikit sebanyak mengubat duka anak buah E Elavarasan itu yang gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand.
Ia juga menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga kumpulan B dengan enam mata hasil dua kemenangan yang terlebih dahulu dicatat ke atas Laos 5-1, Rabu lalu.
Kumpulan B menyaksikan Vietnam dan Thailand mara ke separuh akhir, manakala untuk Kumpulan A diwakili Indonesia dan Myanmar. -- Sinar Harian