Sukan SEA Hanoi: Tiga lagi pendekar negara tempah tiket ke separuh akhir silat
Astro Awani
Mei 14, 2022 17:55 MYT
Mei 14, 2022 17:55 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga lagi wakil kontinjen pencak silat negara berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir pada Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Gimnasium North Tu Liem, hari ini.
Aksi bergaya itu dimulakan dengan Amiruddin Adzmi selepas menewaskan Jhon Paul Acat (Filipina) bagi acara tanding kelas H (80-85 kilogram (kg)).
Kemaraan tersebut diteruskan pula oleh Muhammad Robial Sobri yang menang selesa dengan 70 mata berbalas 28.
Ia sekali gus menggagalkan misi pesilat dari Laos, Sengpheng Duang Vilai untuk memburu pingat dalam kelas J (90-95kg)
Pada pusingan pertama, Mohammad Robial mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila mengumpul 15 mata dalam tempoh seminit pertama perlawanan.
Sementara itu, seorang lagi pesilat negara, Siti Shazwana Ajak layak dalam kelas E (65-70kg), mengalahkan pesilat Indonesia, Selly Andriani dengan 58 mata berbalas enam dalam tiga pusingan.