Sukan SEA Hanoi: Skuad berbasikal tamatkan cabaran raih dua perak
Bernama
Mei 22, 2022 21:32 MYT
Mei 22, 2022 21:32 MYT
HANOI: Skuad wanita negara menamatkan acara berbasikal Sukan SEA ke-31 dengan meraih dua pingat perak pada hari terakhir perlumbaan berkenaan di Wilayah Hoa Binh, kira-kira 75 kilometer (km) dari sini, hari ini.
Nur Aisyah Mohamad Zubir terpaksa akur dengan kehebatan juara Asia dua kali dari Vietnam Nguyen Thi That, dalam pecutan terakhir ke garisan penamat bagi acara lebuh raya individu wanita untuk meraih perak.
Pelumba tuan rumah itu berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2019 di Filipina, manakala wakil Indonesia Priatna Delia Ayustina memenangi gangsa dalam perlumbaan sejauh 88.5km itu yang berlangsung dalam keadaan hujan.
Ketiga-tiga pelumba berkenaan mencatat masa 2 jam 13 minit dan 15 saat.
Malaysia turut meraih perak dalam acara lebuh raya berpasukan dengan catatan masa keseluruhan 6 jam 42 minit dan 15 saat.
Pelumba lain dalam skuad kebangsaan ialah Siti Nur Adibah Akma, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Ju Pha Somnet dan Yeong Zhen Yi.
Siti Nur Adibah dan Munirah menamatkan saingan dalam kedudukan 10 teratas pada perlumbaan tersebut, iaitu di tempat keenam dan kesembilan.
Kejayaan hari ini menyaksikan Nur Aisyah membawa pulang tiga pingat selepas meraih gangsa dalam acara kriterium sebelum ini.
Vietnam memenangi emas dalam acara berpasukan lebuh raya dengan catatan keseluruhan 6:42:11s, manakala Thailand di tempat ketiga dengan 6:43:48s. Acara lebuh raya lelaki tidak mempertandingkan acara berpasukan semalam.
Pengurus pasukan negara, Firdaus Arshad berkata beliau bangga dengan kejayaan Nur Aisyah meraih perak, namun terkilan kerana pelumba negara mampu meraih emas jika Ju Pha tidak terbabit dalam kemalangan ketika di peringkat akhir perlumbaan.
"Apa pun kami bersyukur meraih dua perak pada hari terakhir perlumbaan hari ini. Kami amat bangga dengan kejayaan Nur Aisyah.
"Namun, kami sedikit kecewa tidak memenangi pingat emas berpasukan kerana kami memiliki peluang terbaik, sebelum Ju Pha terbabit kemalangan di penghujung perlumbaan. Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pelumba lebuh raya dan berbukit," katanya.
-- BERNAMA