Sukan SEA Hanoi: Skuad berbasikal negara tidak mengecewakan

Bernama
Mei 20, 2022 18:05 MYT
Muhammad Nur Aiman Rosli meraih gangsa dalam perlumbaan sejauh 39.56 kilometer (km). - Bernama
HANOI: Aksi pelumba berbasikal negara pada Sukan SEA ke-31 sekali lagi tidak mengecewakan apabila menghadiahkan sebutir pingat dalam acara yang berlangsung di Wilayah Hoa Binh, kira-kira 75km dari sini, hari ini.
Kali ini menerusi juara kebangsaan 2021, Muhammad Nur Aiman Rosli yang juga pelumba Sapura Cycling Team (TSC) dalam acara ujian masa individu lelaki apabila meraih gangsa dalam perlumbaan sejauh 39.56 kilometer (km).
Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 48 minit 58.547 saat di belakang jaguh Asia Tenggara Peerapol Chawchiangkwang dari Thailand (48:32.404s) yang meraih emas, manakala pelumba Indonesia Aiman Cahyadi di tempat kedua dengan masa 48:37.903s.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri pula berada di kedudukan kesembilan selepas merekodkan masa 51:31.146s.
Dalam saingan ujian masa individu wanita, dua pelumba Malaysia Zhen Yi Yeong dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, masing-masing menamatkan saingan sejauh 30km di kedudukan kesembilan dan ke-10 dengan masa 44:29.070s dan 45:16.321s.
Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Indonesia Ayustina Delia Priatna (40:08.445s), manakala pelumba Singapura Luo Yiwei (40:47.051s) dan Phetdarin Somrat dari Thailand (42:28.358s) masing-masing meraih perak dan gangsa.
Pencapaian pingat gangsa Muhammad Nur Aiman Rosli itu sekali gus menyaksikan skuad berbasikal negara setakat ini meraih satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.
Pengurus skuad berbasikal negara Firdaus Arshad berkata nasib tidak menyebelahi Muhammad Nur Aiman Rosli untuk meraih pingat perak ketika perlumbaan berbaki 15 saat apabila dipintas pelumba dari Indonesia itu.
Beliau berharap skuad negara dapat menghadiahkan kilauan emas pada dalam acara lebuh raya, pada Ahad ini (22 Mei).
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Hanoi #skuad berbasikal #pingat gangsa
;