Sukan SEA Hanoi: Skuad B-23 gagal bawa pulang pingat gangsa

Bernama
Mei 22, 2022 20:21 MYT
Beraksi dalam hujan dan cuaca sejuk, pasukan muda negara dilihat bergelut dalam mencipta peluang berbahaya sepanjang 45 minit pertama. - Gambar/ FB FAM
HANOI: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pulang dengan tangan kosong, selepas tewas kepada Indonesia 3-4, dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan merebut pingat gangsa saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh di sini, hari ini.
Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 1-1 selepas Ronaldo Joybera R Junior dan penyerang gantian pasukan negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, masing-masing menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.
Pada penentuan sepakan penalti itu, penjaga gol lawan Ernando Ari Sutaryadi muncul wira apabila menyelamatkan dua daripada lima sepakan lemah yang diambil Muhammad Hadi dan Luqman Hakim Shamsudin, sementara sepakan pemain Indonesia Asnawi Mangkualam Bahar menggegar palang.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dicatat skuad bimbingan Brad Maloney dalam kempen temasya sukan dwitahunan itu, selepas kecundang di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir Khamis lepas.
Beraksi dalam hujan dan cuaca sejuk, pasukan muda negara dilihat bergelut dalam mencipta peluang berbahaya sepanjang 45 minit pertama, sementara Indonesia kendalian jurulatih dari Korea Selatan Shin Tae Yong lebih bernafsu untuk merobek gawang dikawal Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Indonesia memberikan amaran awal menerusi dua percubaan berbahaya di awal permainan yang menyaksikan Muhammad Rahadiazli, dipaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan minit ketiga Ronaldo Joybera R Junior sebelum menafikan rembatan deras Witan Sulaiman pada minit kelima.
Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol, memaksa Maloney membuat tiga pertukaran dengan membawa masuk dua penyerang Luqman Hakim, Muhammad Hadi serta pemain pertahanan Muhammad Hairiey Hakim Mamat.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila gerakan serangan lebih tersusun untuk memberi tekanan kepada skuad Garuda Muda yang mula goyah, sebelum Muhammad Azam Azmi Murad hampir membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-50 tetapi percubaannya gagal tepat ke sasaran.
Aksi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan lebih berani mengambil risiko, sebelum giliran Indonesia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-60, namun pemain pertahanan negara Muhammad Azrin Afiq Rusmini bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol tandukan pemain lawan.
Lima minit kemudian, pemain tengah Muhammad Syahir Bashah mensia-siakan peluang keemasan meletakkan Malaysia di depan, apabila gagal memanfaatkan keadaan satu lawan satu berdepan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi yang menyaksikan rembatannya ditepis keluar.
Beliau kemudian sekali lagi kempunan untuk mencetak nama sebagai penjaring selepas percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-66 hanya menggegar palang, sebelum Indonesia akhirnya mendapat gol yang ditunggu-tunggu menerusi Ronaldo Joybera dua minit kemudian.
Malaysia yang ketinggalan tidak menyerah kalah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi Muhammad Hadi yang melepaskan rembatan padu dalam kotak penalti yang terkena pemain pertahanan Rizky Ridho Ramadhani, sebelum menewaskan Ernando di gawang.
Sebagai rekod, ini merupakan edisi kedua berturut-turut skuad B-23 kebangsaan gagal meraih sebarang kilauan pingat di Sukan SEA, selepas meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Hanoi #bola sepak #harimau muda
;