Sukan SEA Hanoi: Rangkul emas, Irfan Shamsuddin kekal 'raja' lempar cakera Asia Tenggara

Astro Arena
Mei 17, 2022 19:02 MYT
Irfan mula menguasai acara itu sejak edisi di Nay Pyi Taw pada 2013 sebelum mempertahankannya di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017), Manila (2019) dan yang terbaru di Vietnam. - Foto BERNAMA
IRFAN Shamsuddin menepati ramalan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya sejak 2013 apabila mengungguli acara lempar cakera Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh sebentar tadi.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 26 tahun itu melakukan lemparan sejauh 58.26 meter, jauh meninggalkan pencabar lain untuk memenangi pingat emas kelimanya sepanjang penganjuran temasya itu.
Pingat perak menjadi milik atlet Thailand, Kiadpradid Srisai (51.18m) manakala gangsa pula dimenangi wakil Filipina, William Edward Morrison (50.44m).
Sebagai rekod, Irfan mula menguasai acara itu sejak edisi di Nay Pyi Taw pada 2013 sebelum mempertahankannya di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017), Manila (2019) dan yang terbaru di Vietnam.
*Artikel asal disiarkan di Stadium Astro
#Sukan SEA #Hanoi #Irfan Shamsuddin #rangkul emas #lempar cakera #Vietnam
;