Sukan SEA Hanoi: Pesanan bapa jadi azimat Ahmad Nor Iman Aliff

Bernama
Mei 23, 2022 08:00 MYT
Ahmad Nor Iman Aliff berkata, bapanya berpesan supaya tidak gentar berdepan peserta Vietnam Huynh Hoang Phi dan sorakan penyokong tuan rumah. - Foto BERNAMA
HANOI: Pesanan daripada bapa, Rakib Ahmad supaya memberi fokus sepenuhnya terhadap pertarungan, menjadi azimat buat Ahmad Nor Iman Aliff Rakib untuk melakar kejutan meraih emas acara Muay Thai, pada Sukan SEA Ke-31 di sini.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata bapanya, yang merupakan peninju negara era-90, berpesan supaya tidak gentar berdepan peserta Vietnam Huynh Hoang Phi dan sorakan penyokong tuan rumah, apabila turun di gelanggang pada aksi final kategori elit bawah 54 kilogram lelaki pada Ahad.
"Sebelum pertarungan, rasa sedikit tertekan sebab lawan dengan peserta tuan rumah, tetapi apabila di gelanggang, perasaan itu mula hilang. Saya gembira dapat menang pingat emas.
"Bapa juga pesan, jangan fikir (lawan peserta Vietnam dan sorakan penyokong tuan rumah), tumpu pada pertarungan sahaja," kata juara dunia remaja 2021 itu yang membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan tersebut.
Atlet muda negara itu yang memiliki ketinggian, menampilkan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan 30-27 (10-9,10-9,10-9) dalam pertarungan tiga pusingan pada Ahad.
Kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff itu, sekali gus menyaksikan beliau menyumbang pingat emas ke-39 buat kontinjen negara pada temasya kali ini.
Pingat gangsa acara itu milik peserta Filipina Ariel Lee Lampacan dan Sakchai Chamchit dari Thailand.
Untuk rekod, Rakib merangkul pingat gangsa kategori 58kg pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, melengkapkan kejayaan Sapok Biki yang meraih emas kategori 48kg dalam temasya tersebut.
Beliau kemudian bersara dan fokus terhadap perniagaan menjual peralatan sukan seni mempertahankan diri di Rantau Panjang, Kelantan.
Sementara itu, atlet Muay Thai wanita negara Nur Amisha Azrilrizal terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, apabila terpaksa akur 27-30 di tangan peserta Thailand Srila Oo Wansawang pada final kategori wanita elit bawah 51kg.
Pingat gangsa acara berkenaan diraih peserta Kemboja Soeng Moeuy dan Thi Phuong Thuy Trieu dari Vietnam.
Presiden Persatuan Muaythai Malaysia Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi bangga dengan semangat ditampilkan Ahmad Nor Iman Aliff dan mencipta kejutan meraih emas sedangkan beliau belum pulih sepenuhnya daripada patah tulang rusuk ketika menyertai kejohanan di Bangkok, Mac lepas.
"Doktor nasihatkan dia (Ahmad Nor Iman Aliff) berehat untuk pulih sepenuhnya, tetapi dia nak juga sertai Sukan SEA. Saya bangga dengan kejayaan beliau," katanya.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Hanoi #Muay Thai #Ahmad Nor Iman Aliff Rakib
;