Sukan SEA Hanoi: Muhammad Syafiq berhadapan 2 lawan sebelum rangkul emas taekwondo

Bernama
Mei 19, 2022 00:27 MYT
Pujian harus diberikan kepada Muhammad Syafiq kerana bukan hanya menjinakkan Pham Minh Bao Ka 15-9 tetapi berjaya mendiamkan penyokong tuan rumah untuk memperoleh emas itu. - Stadium Astro
HANOI: Atlet taekwondo negara Muhammad Syafiq Zuber terpaksa berhadapan dua "lawan" dari Vietnam dalam final kyorugi welterweight (80kg) lelaki pada Sukan SEA Ke-31 sebelum muncul juara di Gimnasium Tay Ho malam ini.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Muhammad Syafiq kerana bukan hanya menjinakkan Pham Minh Bao Ka 15-9 tetapi berjaya mendiamkan penyokong tuan rumah untuk memperoleh emas itu.
Terdahulu wakil Malaysia itu telah memberikan aksi terbaiknya untuk menyingkirkan juara tiga kali Samuel Morrison dari Filipina dalam separuh akhir.
Muhammad Syafiq, 22, menewaskan Morrison yang merupakan pemenang pingat emas dari 2015 hingga 2019, 35-21.
Pada edisi 2019 Filipina, Muhammad Syafiq terpaksa berpuas hati dengan gangsa dalam kategori lightweight (74kg).
Kem taekwondo negara kini mengumpul 1-1-3 pingat.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Hanoi #taekwondo #Muhammad Syafiq Zuber
;