Sukan SEA Hanoi: MOM sekat hajat skuad bola baling

Astro Arena
Mac 17, 2021 06:10 MYT
Kami tidak mahu keadaan di mana kami hantar skuad bola baling ke Sukan Asia dan mereka tidak dapat meraih posisi yang baik, kata Mohd Nazifuddin. - Foto Astro ARENA
IMPIAN skuad bola baling negara menyertai Sukan SEA Hanoi di Vietnam, hujung tahun ini, musnah apabila dihalang Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mengesahkan kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap bola baling atas dua faktor.
Penampilan terakhir skuad bola baling negara dalam sukan bertemasya ialah Sukan Asia Indonesia 2018 yang menyaksikan Malaysia menjadi mangsa belasahan apabila tewas kesemua enam perlawanan peringkat liga sepusingan.
"Kami tidak mahu keadaan di mana kami hantar skuad bola baling ke Sukan Asia dan mereka tidak dapat meraih posisi yang baik dan mereka juga tidak membayar hutang kepada MOM.
"Kami tidak boleh beri mereka bertanding dalam Sukan SEA dalam apa pun keadaan hingga mereka langsaikan hutang malah ia juga akan dibawa ke majlis jawatankuasa untuk melihat status mereka sebagai ahli gabungan," katanya di Wisma MOM, pada Rabu.
Sumber Facebook Olympic.Council.Malaysia
Walaupun Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) sedia mengeluarkan dana sendiri untuk menghantar pasukan, MOM tetap bertegas dengan pendirian awal.
"Kami tidak mahu ambil risiko dengan menghantar atlet yang tidak boleh berikan saingan.
"Kali ini kami mahu pastikan atlet terbaik untuk mewakili Malaysia," tambahnya.
Sebanyak 31 ahli gabungan MOM dan empat ahli bersekutu akan menghantar senarai atlet dan jurulatih mereka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet, bermula esok.
#sukan #dana #MOM #Mohd Nazifuddin Mohd Najib #tindakan tegas #bola baling #mangsa belasahan #Indonesia #Sukan Asia #Hanoi #Vietnam #mangsa #ambil risiko #MAHF
;