Sukan SEA Hanoi: Menang emas beregu campuran, Tang Jie-Yen Wei tamat penantian 23 tahun

Astro Awani
Mei 22, 2022 17:10 MYT
Tang Jie dan Yen Wei menamatkan penantian emas selama 23 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran. - Gambar/ BAM
HANOI: Beregu Chen Tang Jie-Peck Yen Wei memenangi emas dalam acara beregu campuran badminton Sukan SEA pada Ahad, sekali gus menambah kutipan pingat emas Malaysia kepada 38 pingat.
Pasangan itu menamatkan penantian emas selama 23 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran dengan mengatasi rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13 di perlawanan akhir.
Kali terakhir beregu campuran negara menang pingat emas ialah pada 1999 di Sukan SEA Brunei menerusi gandingan Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee.
Ini adalah satu-satunya pingat emas yang disumbangkan oleh kontinjen badminton dalam temasya edisi kali ini.
Ia sudah cukup untuk memenuhi sasaran satu emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Kemenangan itu bermakna skuad negara yang dibarisi sepenuhnya pemain pelapis akan pulang dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.
#Sukan SEA #beregu campuran negara #badminton #Chen Tang Jie #Peck Yen Wei
;