Sukan SEA Hanoi: Johnathan rampas kembali emas acara 10 meter air pistol
Bernama
Mei 19, 2022 14:37 MYT
Mei 19, 2022 14:37 MYT
HANOI: Selepas gagal di Filipina pada 2019, Johnathan Wong kembali merampas pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki temasya sukan dwitahunan itu, selepas mengungguli saingan akhir yang berlangsung di Pusat Latihan Sukan Hanoi di sini, hari ini.
Turun dalam keadaan tenang dan fokus, Johnathan yang memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur berjaya mengatasi tekanan sorakan gemuruh tuan rumah, apabila kekal dalam 'dunianya' sendiri untuk mengumpul 238.6 mata keseluruhan.
Kehebatan bidikannya itu terutama di awal saingan, gagal ditandingi atlet Vietnam Cuong Tran Quoc apabila sekadar mengumpul 236.6 mata, untuk berpuas hati dengan perak, sementara gangsa menjadi milik Muhammad Iqbal Raia Prabowo dari Indonesia dengan 214.2 mata.
Kejayaan itu sekali gus mengubati kekecewaannya, selepas tidak berjaya meraih pingat pada edisi 2019 yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Pingat emas diraih Johnathan merupakan emas sulung kem menembak negara di Hanoi, sekali gus memastikan pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.