Sukan SEA Hanoi: 2 perak dalam genggaman skuad Muay Thai
Bernama
Mei 20, 2022 20:00 MYT
Mei 20, 2022 20:00 MYT
HANOI: Sekurang-kurangnya dua pingat perak sudah berada dalam genggaman kontinjen Malaysia apabila dua peserta Muay Thai negara melangkah ke saingan akhir Sukan SEA ke-31 di sini.
Pada aksi separuh akhir berlangsung di Pusat Sukan Vinh Phuc hari ini, Nur Amisha Azrilrizal mara ke final acara Wanita Elit Bawah 51 kilogram (kg) selepas menewaskan peserta Kemboja Soeng Moeuy, 30-27.
Nur Amisha, 19, yang meraih gangsa pada edisi 2019 di Filipina, akan berdepan Srila Oo Wansawang di peringkat akhir setelah atlet Thailand itu menumpaskan peserta tuan rumah, Thuy Phuong Thi Trieu, 29-28 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mengesahkan slot ke pertarungan akhir selepas mengalahkan atlet Filipina Ariel Lee Lampacan, 30-27 dalam acara Lelaki Elit Bawah 54kg.
Atlet Malaysia berusia 18 tahun itu akan membuat perhitungan dengan Huynh Hoang Phi di pentas final setelah peserta dari Vietnam itu menewaskan Sakchai Chamchit dari Thailand, 30-27.
Kedua-dua final itu akan berlangsung Ahad ini (22 Mei).
-- BERNAMA