Sukan SEA: Giliran Filipina pula
Bernama
Ogos 30, 2017 23:40 MYT
Ogos 30, 2017 23:40 MYT
Filipina secara rasminya mengambil alih tanggungjawab sebagai tuan rumah Sukan SEA akan datang apabila ia menerima bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) pada upacara penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, malam ini.
Presiden SEAGF Tan Sri Imran Tuanku Jaafar menyerahkan bendera itu kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) Jose Cojuangco Jr. yang kemudian menyerahkannya kepada Alan Peter Cayetano, selaku pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-30.
Beliau juga ialah Setiausaha Hal Ehwal Asing Filipina.
Tuan rumah edisi ke-30 itu telah mencadangkan beberapa provinsi di Central Luzon sebagai venue bagi temasya dwitahunan itu.
Kali terakhir Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2005 dan muncul juara keseluruhan dengan meraih 113 pingat emas. Ia juga menjadi tuan rumah temasya itu pada 1981 dan 1991.
Malaysia dinobatkan juara keseluruhan KL2017 dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa manakala di tempat kedua Thailand dengan 72 pingat emas diikuti Vietnam 58, Singapura 57, Indonesia 38, Filipina 24, Myanmar tujuh, Kemboja tiga dan Laos dua.
Brunei membawa pulang lima pingat perak dan lapan gangsa dan Timor Leste tiga gangsa.
-- BERNAMA