Sukan SEA: Emas kedua negara di lantai tari
Astro Awani
Disember 1, 2019 15:31 MYT
Disember 1, 2019 15:31 MYT
SELEPAS pasukan wushu negara membuka kantung pingat dengan mengutip emas pertama kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-30, khabar gembira kedua menyusul apabila seorang lagi atlet Malaysia meneruskan rentak cemerlang.
Lego Sam atau nama sebenarnya Sam Jee Lek mengharumkan nama negara apabila mengungguli acara disiplin break dance dalam sukan tari, sekali gus pingat emas yang diperoleh itu mengukir sejarah tersendiri.
Mengetepikan cabaran daripada empat peserta lain di gelanggang New Clark City, Lego mencipta nama sebagai penyumbang emas pertama menerusi sukan berkenaan sejak kali pertama dipertandingkan pada edisi 2005 di Manila.
Terdahulu, skuad wushu negara menerusi Loh Choon How membutirkan pingat emas dari venue Pusat Dagangan Dunia, Manila dalam acara taijiquan.