Sukan SEA: Elavarasan belum muktamadkan skuad utama Harimau Muda

Bernama
April 29, 2023 21:40 MYT
Elavarasan masih berteka-teki berhubung senarai skuad utama yang akan dibawanya bagi menggalas cabaran bola sepak lelaki ke Sukan SEA Phnom Penh di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei ini. - Foto fail/Stadium Astro
PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara E. Elavarasan masih berteka-teki berhubung senarai skuad utama yang akan dibawanya bagi menggalas cabaran bola sepak lelaki ke Sukan SEA Phnom Penh di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei ini.
Elavarasan memaklumkan beliau hanya akan memuktamadkan nama 20 daripada 25 senarai pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat ke temasya itu sebelum berlepas ke Kemboja pada 2 Mei (Selasa) ini.
"Belum ada ... masih awal lagi dan saya tidak mempunyai gambaran tentang itu," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan skuad B-22 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini pada Sabtu.
Menyentuh mengenai perkembangan kem latihan pusat diadakan, beliau berpuas hati apabila kebanyakan pemain yang dipanggil telah melaporkan diri.
"Hari ini hari pertama kumpulkan mereka. Semalam ada pemain yang hadir, namun masih dalam proses pemulihan tapi sekurang-kurangnya kita dapat mengumpulkan mereka," katanya.
Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 pada 3 Mei diikuti menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 pada 11 Mei.
Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei dan aksi final serta penentuan tempat ketiga dan keempat berlangsung pada 16 Mei.
Kali terakhir Malaysia merangkul emas adalah pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah sebelum gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #harimau muda #E Elavarasan #Kemboja