Sukan SEA: E-sukan sasar satu pingat emas, intai peluang cipta kejutan
Bernama
April 15, 2022 17:59 MYT
April 15, 2022 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad e-sukan negara ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, memperbaharui matlamat mereka apabila tampil dengan sasaran lebih relevan dan berani untuk membawa pulang satu pingat emas dan tiga gangsa.
Pengurus pasukan Kelvin Pang berkata jumlah terkini yang mengatasi sasaran awal iaitu hanya empat pingat, diputuskan pada bengkel penetapan sasaran akhir berlangsung baru-baru ini.
Beliau berkata harapan untuk meraih pingat emas itu disandarkan kepada Ahmad Syafiq Imran Mohamad atau lebih dikenali sebagai 'QB' di gelanggang maya, menerusi permainan Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile individu.
"Untuk gangsa kita sasar pada Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Wild Rift dan Arena Of Valor (AOV). Untuk AOV pada edisi 2019 kita dapat nombor empat jadi tahun ini saya rasa kita boleh usaha dapatkan gangsa, lagi pun dua pemain sebelum ini masih kekal dalam skuad sekarang.
"Selain kita berharap dapat melakukan kejutan, kita juga harap boleh dapat penamat podium berganda untuk PUBG Mobile sebab kategori berpasukan juga dipertandingkan," katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Syafiq berkata pasukan PUBG Mobile telah mendapatkan khidmat jurulatih dan pemain tempatan berpangkalan di Indonesia iaitu Muhammad Farhan Abdul Gafar dan Muhammad Dhiya Ulhaq Muhammad Arasz bagi memastikan misi meraih pingat emas di Hanoi tercapai.
Muhammad Farhan, dikenali sebagai Jangs berperanan sebagai jurulatih manakala sentuhan Muhammad Dhiya yang menggunakan nama 'uHigh' di medan maya ditagih untuk memperkuatkan pasukan mencabar saingan pada temasya dwitahunan itu.
"Saya yakin dengan pasukan sebab itu kami sasarkan pingat emas walaupun permainan ini pertama kali dipertandingkan di Sukan SEA. Untuk saya ia bukan satu tekanan yang besar sebab lawan kita semua dah pernah jumpa sebelum ini, kami hanya perlu fokus dan berikan segalanya," kata Ahmad Syafiq.
Dalam pada itu, skuad eRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggalas cabaran negara dalam permainan FIFA Online 4 pula menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa di Hanoi selepas meneliti peluang terhidang dan kekangan dihadapi sepanjang membuat persediaan.
Sukan SEA Hanoi dijadual pada 12 hingga 23 Mei ini dengan e-sukan menawarkan sebanyak 10 pingat emas.
Selain PUBG Mobile, MLBB, Wild Rift, AOV dan FIFA Online 4, kem e-sukan negara turut menghantar wakil bertanding dalam permainan League Of Legends dan Garena Free Fire.
Sebagai rekod, ketika e-sukan mula dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Malaysia membawa pulang satu emas menerusi Hearthstone dan satu gangsa menerusi MLLB berpasukan.
-- BERNAMA