Sukan SEA: Cuaca panas, penyakit bawaan haba kebimbangan utama kontinjen Malaysia
Bernama
Mei 5, 2023 16:20 MYT
Mei 5, 2023 16:20 MYT
PHNOM PENH: Kesan utama penyakit bawaan haba seperti strok haba kekal menjadi kebimbangan utama pasukan perubatan kontinjen negara di Sukan SEA 2023 yang berlangsung dalam fenomena cuaca panas melampau, di sini.
Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen (CMO) Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata cuaca di Kemboja panas dan sangat kering sehingga suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius sekali gus strok haba mungkin boleh menyerang atlet terutama mereka yang terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama.
Menurut beliau, antara simptom awal penyakit bawaan haba ialah pening, kurang bermaya dan rasa seakan kepala berpusing manakala serangan strok haba pula mampu menyebabkan atlet pitam atau lebih parah.
"Sekiranya mereka bergejala kita sudah boleh ambil langkah berjaga-jaga atau dia (atlet) sendiri kena tingkatkan hidrasi. Kita juga menasihatkan supaya atlet tidak mengambil terlalu banyak air manis, kopi ataupun minuman berkafein sebab itu akan jejaskan hidrasi.
"Sudah tentu yang terbaik adalah minum banyak air kosong ataupun minuman elektrolit untuk pastikan air dan garam dalam badan berada dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui Bernama di klinik kontinjen negara di Perkampungan Atlet Sukan SEA 2023 di sini.
Bagi atlet yang terdedah dengan cahaya matahari terlalu lama ketika bertanding, beliau berkata mereka perlu menggunakan tuala basah ataupun pek ais untuk menyejukkan anggota badan seperti di belakang leher, kepala dan celah-celah badan bagi mengurangkan risiko suhu badan meningkat.
Menurut beliau yang merupakan CMO ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kaedah itu merupakan cara termudah untuk mengurangkan suhu badan.
"Selain itu, dari segi pemakaian kita nasihatkan atlet supaya tidak pakai terlalu tebal dan elak pakaian berwarna terlalu gelap sebab ini akan menambahkan risiko mendapat penyakit bawaan haba. Mereka juga boleh pakai topi, sarung tangan dan losyen serta krim pelindung matahari," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata atlet boleh menjalani proses pemulihan termasuk menggunakan ice bath yang disediakan di klinik kontinjen.
Sementara itu, Dr Jasmiza berkata seramai 30 kakitangan perkhidmatan sokongan sains dan perubatan sukan termasuk enam doktor pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) ditugaskan untuk memantau tahap kesihatan kesemua 677 atlet kebangsaan di Sukan SEA 2023 dari 5-17 Mei ini.
Katanya pasukan perubatan ke temasya sukan dwitahunan itu turut terdiri daripada pegawai paramedik, jururawat, ahli fisioterapi dan tukang urut bagi memastikan para atlet negara menerima perkhidmatan terbaik.
"Selain di sini, kita juga ada dua pasukan yang bertugas di wilayah Sihanoukville (venue sukan pelayaran) dan satu pasukan di wilayah Siem Reap (berbasikal) tetapi yang utama adalah di Perkampungan Atlet di mana kita ada klinik kontinjen yang bersedia 24 jam sepanjang temasya berlangsung.
"Di sini kita ada ultrasound yang boleh bantu mendiagnosis kecederaan dan segala jenis ubatan yang diperlukan. Selain daripada khidmat klinik, kita juga ada khidmat fisioterapi dan urutan sukan di mana kita ada kakitangan yang berguas setiap masa," katanya.
Mengulas mengenai cabaran pasukan perubatan di sini, Dr Jasmiza berkata pada peringkat awal pihaknya menghadapi permasalahan peralatan asas klinik dan pengangkutan, namun ia berjaya diatasi dengan bantuan pelbagai pihak serta inisiatif sendiri.
"Kita mempunyai kereta yang disewa bagi memudahkan pihak ISN melakukan tugasan luar, saya percaya kita akan menemui cabaran setiap hari tetapi kita akan cuba atasinya," kata beliau.
-- BERNAMA