Sukan SEA: CNA mohon maaf salah padan 9 daripada 11 bendera negara termasuk Malaysia
Hasimi Muhamad
Mei 12, 2022 17:32 MYT
Mei 12, 2022 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Stesen berita 24 jam, Channel News Asia (CNA) memohon maaf kerana tersalah memadankan sembilan daripada 11 bendera negara ketika memaparkan kedudukan pungutan pingat Sukan SEA ke-31 hari ini.
Bendera Malaysia dan Singapura merupakan antara padanan salah dilakukan stesen berkenaan.
Dalam paparan kedudukan pingat, bendera Malaysia dan Singapura antaranya dilihat tertukar, dengan Malaysia di kedudukan kedua sementara republik itu di tangga kelima.
Turut berlaku kesilapan pada padanan bendera adalah Vietnam, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei, Kemboja, Laos serta Myanmar.
Menerusi paparan berkenaan, hanya bendera Myanmar dan Timor Laste disiarkan dengan betul.
Agensi yang berpangkalan di Queenstown, Singapura itu menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, insiden yang tidak disengajakan itu berlaku dalam segmen Asia First kira-kira pukul 7.50 pagi Khamis.
"Ralat itu disiarkan selama kira-kira 25 saat.
“Kesilapan ini telah diperbetulkan untuk kemas kini Sukan SEA berikutnya semasa Asia First, termasuk menyiarkan permohonan maaf.
“Kami amat kesal perkara ini berlaku. Ia tidak mencapai standard profesional yang diharapkan daripada kami sendiri dan dengan ikhlas memohon maaf kepada penonton kami,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Dalam masa sama, stesen televisyen itu berjanji akan berusaha melakukan yang lebih baik.
Sukan SEA berlangsung di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.
Setakat ini, Vietnam mendahului dengan kutipan 33 pingat, sementara Malaysia berada di kedudukan kedua dengan 23 pingat.
Pada temasya sukan dwitahunan itu, Malaysia menyasarkan 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan jumlah keseluruhan 146 pingat.