Sukan SEA: Chuan Leong kembali raih emas selepas lapan tahun

Bernama
Mei 14, 2023 00:40 MYT
Chuan Leong meraih emas selepas lapan tahun iaitu kali terakhir dimenanginya pada edisi 2015 di Singapura. - Gambar Bernama
PHNOM PENH: Selepas kira-kira 48 jam, Malaysia kembali menuai pingat emas di Sukan SEA 2023 menerusi billiard yang disumbangkan Thor Chuan Leong dalam acara snuker perseorangan lelaki.
Menewaskan Akani Songsermsawad dari Thailand pada peringkat akhir yang berlangsung di Aeon Mall Sen Sok, Chuan Leong meraih emas selepas lapan tahun iaitu kali terakhir dimenanginya pada edisi 2015 di Singapura.
Beliau menampilkan prestasi memberangsangkan dengan meraih kemenangan 4-1 (74-42, 67-48, 53-72, 53-17, 63-21).
Seorang lagi atlet negara Lim Kok Leong berkongsi pingat gangsa dengan wakil tuan rumah Sophanith Men.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan sasaran dua emas yang ditetapkan Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia pada temasya ini tercapai, selepas Moh Keen Ho menyumbangkan emas pertama kem snuker negara dalam acara 6-Red individu, Selasa lepas.
Chuan Leong kini memiliki keseluruhan lima emas Sukan SEA selepas mengungguli acara berpasangan lelaki pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia dan 2015 di Singapura selain acara 6-Red perseorangan pada edisi 2013 di Myanmar.
-- BERNAMA
#billiard #Sukan SEA #Thor Chuan Leong #pingat emas
;