Sukan SEA: Bryan tekad sumbang pingat di Phnom Penh
Bernama
April 25, 2023 16:02 MYT
April 25, 2023 16:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pengalaman bersaing dengan beberapa perenang Olimpik dan beberapa atlet renang terbaik dunia di United Kingdom banyak membantu Bryan Leong Xin Ren meningkatkan kelajuan bagi menghadapi Sukan SEA dan kejohanan dunia akan datang.
Atlet renang berusia 20 tahun yang terlepas pingat ketika penampilan di pentas Sukan SEA Filipina 2019 dan Hanoi, Vietnam tahun lepas itu berkata sasaran untuk menaiki podium mampu dicapai namun mengakui bakal berdepan saingan sengit pada temasya di Phnom Penh pada 5 hingga 17 Mei ini.
Bryan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 50 meter (m) gaya bebas (23.09s) dan 100 meter kuak kupu-kupuk (53.32s) akan menyertai acara 50m gaya bebas, 50m gaya dada, 50m dan 100m kuak kupu-kupu serta rampaian 4x100 di Phnom Penh.
"Latihan dan pertandingan di UK telah mendorong saya untuk meningkatkan prestasi saya. Persekitaran tekanan tinggi juga membantu saya menguruskan gemuruh dan emosi serta bagaimana untuk bertanding dalam situasi mencabar.
"Walaupun meraih pingat adalah sasaran, namun objektif utama di Sukan SEA adalah untuk memberikan yang terbaik dan melakukan catatan peribadi terbaik (PB). Tidak dinafikan persaingan di Sukan SEA adalah tinggi, dengan atlet renang yang hebat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Graduan dalam bidang neurosains dan psikologi dari King's College London itu turut berharap dapat dapat menyerlah di peringkat lebih tinggi, selepas layak ke Kejohanan Akuatik DUnia 2023 di Fukuoka, Jepun pada 23 hingga 30 Julai.
Semi-finalis acara 100m kuak kupu-kupu itu juga menyasarkan untuk melakukan renangan bawa 53 saat dalam acara tersebut sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara terbabit.
"Layak ke kejohanan Dunia adalah pencapaian terbaik saya setakat ini dan saya tidak sabar untuk mempamerkan aksi terbaik saya di peringkat global. Saya harap dapat capai catatan peribadi terbaharu yang terbaik dan teruja untuk bertemu dan berinteraksi dengan atlet pelbagai negara dan budaya," katanya.
Meskipun terpaksa melakukan dua perkara pada satu masa iaitu belajar dan persiapan menghadapi dua kejohanan utama itu, Bryan berkata beliau mampu membahagikan masa bagi menjalankan kedua-dua tanggungjawab itu.
"Saya bekerjasama rapat dengan jurulatih untuk pastikan saya dalam keadaan terbaik, walaupun ketika menjalani peperiksaan. Apa yang saya rindukan adalah dikelilingi keluarga dan orang tersayang, serta cuaca dan makanan kegemaran," katanya.
-- BERNAMA