Sukan SEA: Badminton wanita tewas di final

Astro Arena
Jun 12, 2015 22:27 MYT
Berikutan kekalahan itu, skuad negara sekadar meraih pingat perak manakala Thailand memenangi emas.
Skuad badminton wanita negara terpaksa akur dengan kehebatan pemain Thailand apabila tewas 0-3 pada perlawanan akhir acara berpasukan Sukan SEA ke-28 di Stadium Tertutup Singapura hari ini.
Berikutan kekalahan itu, skuad negara sekadar meraih pingat perak manakala Thailand memenangi emas.
Wakil perseorangan pertama negara, Lim Yin Fun ternyata gagal menyaingi kehebatan pemain nombor enam dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon apabila tewas 13-21, 14-21.
Gandingan Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie juga gagal menyumbangkan mata kepada skuad negara walaupun menampilkan aksi mantap apabila tumpas kepada beregu utama Thailand, Puttita Supajirakul/Sapsiree Taerattanachai 20-22, 18-21.
Pemain perseorangan kedua Thailand, Busanan Ongbumrungpan mengesahkan kejuaraan mereka setelah mudah mengalahkan pemain kebangsaan, Ho Yen Mei 21-8, 21-15.
Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen percaya kejayaan meraih pingat perak dalam acara berpasukan itu akan meningkatkan semangat pemain untuk mencipta kejayaan dalam acara individu.
"Skuad wanita mempamerkan prestasi hebat. Saya berpuas hati dengan komitmen mereka. Saya percaya mereka akan menampilkan aksi lebih baik pada masa hadapan. Majoriti pemain muda kita memperoleh pengalaman berharga di Sukan SEA.
"Saya tidak menyangka mereka mampu menewaskan Indonesia di separuh akhir. Mereka berjuang habis-habisan...tetapi Thailand lebih baik daripada kita," katanya.
Sementara itu, pasukan wanita Singapura dan Indonesia berkongsi pingat gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir semalam.
Kali terakhir skuad wanita Malaysia meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA 2009 di Laos.
#badminton wanita #Lim Yin Fun #Stadium Tertutup Singapura #Sukan SEA #Thailand
;