Sukan SEA: Al-Jufferi yakin mara ke final

Astro Arena
Mei 2, 2022 06:00 MYT
MOHD AL JUFFERI: Dengan meletakkan sasaran untuk ke final, memenangi pingat emas merupakan satu bonus bagi saya. - Gambar fail/BERNAMA
'SAYA yang paling kecil dalam kelas F', itu ungkapan mungkin menggerunkan bagi kita untuk berdepan musuh di gelanggang namun tidak bagi pahlawan terbilang Al-Jufferi Jamari.
Pesilat negara itu turut berkongsi bersama Nadi Arena bahawa dia berpegang kepada ajaran hulubalang dahulu kala betapa darah bangsa kita tiada tandingan.
"Dua tahun tidak bertanding selepas kali terakhir membuat penampilan dalam saingan Sukan SEA Filipina sementara program latihan yang tergendala ekoran COVID-19 menjadikan prestasi yang kurang konsisten," katanya.
"Ditambah pula saya mengalami kecederaan meniskus lutut kiri menyukarkan saya untuk menurunkan berat badan jadi perlu beraksi dalam kelas F.
"Kesukaran yang bakal dihadapi dalam saingan Sukan SEA kali ini adalah saya merupakan atlet yang paling kecil dalam kategori ini."
Ditanyakan mengenai persaingan di Hanoi, Al-Jufferi berkata, "Atlet-atlet Vietnam bakal mendominasi edisi kali ini.
"Namun ia tidak menjadi satu bebanan kerana saya merupakan seorang yang sentiasa menyahut sebarang cabaran. Dengan meletakkan sasaran untuk ke final, memenangi pingat emas merupakan satu bonus bagi saya."
#Sukan SEA #Al-Jufferi Jamari #pesilat negara #cedera
;