Sukan SEA 2025: KBS sasar pingat keseluruhan, tidak ikut warna pingat - Hannah
Bernama
Februari 5, 2025 12:00 MYT
Februari 5, 2025 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penetapan sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 adalah mengikut jumlah pingat keseluruhan dan tidak mengikut warna pingat, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata penetapan itu turut mengambil kira saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU), malah pendekatan itu juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
"Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik pada temasya sukan antarabangsa nanti.
"Penetapan sasaran pingat akan ditentukan selepas ini secara bersama antara KBS (Kementerian Belia dan Sukan) melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memandangkan pendaftaran akhir atlet bagi menyertai temasya itu masih terbuka sehingga September 2025," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu mengenai sasaran Malaysia dan persediaan untuk temasya dwitahunan itu yang diadakan di Thailand, susulan rombakan acara oleh tuan rumah.
Hannah berkata antara sukan yang dijangka menyumbang jumlah pingat yang banyak kepada kontinjen negara adalah akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin boling.
Mengulas mengenai pengguguran beberapa acara oleh tuan rumah pada temasya itu, beliau berkata perkara berkenaan akan memberi kesan kepada jumlah pingat yang dipungut kontinjen negara kerana ia melibatkan acara tumpuan seperti sukan akuatik-terjun, berbasikal, gimrama, e-sukan dan pencak silat.
"Selain itu, tambahan acara pula akan memberikan kelebihan kepada Thailand selaku tuan rumah dengan penyenaraian acara yang memberikan kelebihan kepada atlet mereka," katanya.
Pihak penganjur telah membuat beberapa penambahan dan perubahan acara pada temasya Sukan SEA 2025 dengan 11 acara telah digugurkan, manakala 16 acara baharu ditambah.
Perubahan turut melibatkan sukan gimnastik, kanu, berbasikal, e-sukan, pencak silat dan judo.
Antara acara yang disenaraikan semula ialah 20 kilometer jalan kaki dan 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan wanita, sekali gus menjadikan 47 pingat emas dalam olahraga.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Segambut itu berkata seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan dan 261 atlet pelapis kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang giat menjalani program latihan di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih berpengalaman.
Hannah berkata bagi memastikan Malaysia tidak dikejutkan setiap kali acara tumpuan negara dikeluarkan daripada pertandingan, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) telah bersetuju dengan cadangan supaya penganjuran tiga edisi Sukan SEA (2025, 2027 dan 2029), penentuan bilangan sukan yang dipertandingkan akan diselaraskan dengan sukan yang disenaraikan dalam Sukan Olimpik.
"Jadi garis asas adalah acara Sukan Olimpik tidak akan dikeluarkan supaya ada konsistensi, tetapi yang lain itu adalah di bawah keputusan penganjur.
"Saya pasti yang ini Majlis Olimpik Malaysia telah ke sana untuk berunding. Ada acara yang telah mereka keluarkan sebelum ini, dan selepas rundingan dan rayuan telah dimasukkan kembali," katanya.
-- BERNAMA