Sukan SEA 2025: Atlet angkat berat berdepan cabaran kemungkinan perubahan kategori
Bernama
Disember 9, 2024 16:34 MYT
Disember 9, 2024 16:34 MYT
KUALA LUMPUR: Persiapan atlet angkat berat negara untuk Sukan SEA Thailand 2025 berdepan cabaran tersendiri berikutan kemungkinan berlakunya perubahan kategori bagi acara itu.
Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata ini susulan mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Manama, Bahrain baru-baru ini yang memutuskan perubahan kategori bagi sukan berkenaan.
Beliau berkata PABM dan atlet masih menunggu pengesahan rasmi jawatankuasa pertandingan yang dijangka diketahui awal tahun hadapan sama ada kekal dengan kategori sebelum ini atau mengikut kategori baharu ditetapkan IWF.
"Itu adalah cabaran bagi atlet bagaimana hendak sesuaikan diri dengan perubahan kategori, tetapi setakat ini kita belum dapat hitam putih (kekal atau berubah)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
IWF dalam laman sesawang rasminya pada 3 Dis memaklumkan perubahan yang diluluskan dalam mesyuarat berkenaan melibatkan pengenalan lapan kategori berat badan bermula 60 kg bagi lelaki manakala wanita bermula 48kg.
Sementara itu, Ayub berharap badang negara Muhammad Aznil Bidin mampu menyerlah dalam temasya dwitahunan itu dengan mengambil kira faktor usia beliau yang bakal mencecah 31 tahun pada tahun depan.
Beliau berkata pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel edisi 2018 dan 2022 yang baru sahaja memfokuskan kepada kategori 67 kilogram (kg) daripada kategori 61kg bermula awal tahun ini perlu berusaha keras dan tidak terlalu selesa setiap kali mencapai kejayaan.
"(Macam semalam di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Manama) kita tidak boleh berpuas hati kerana juara dari Korea Utara melakukan angkatan 336kg manakala Aznil 308kg.
"Kalau tengok, dia (Aznil) berjaya tewaskan peserta Indonesia, Filipina dan negara lain tetapi kita tak tahu apakah atlet lain pula yang lebih berkebolehan akan bersaing di Sukan SEA akan datang," katanya.
Muhammad Aznil yang beraksi dalam kategori 67kg pada Kejohanan Angkat Berat Dunia semalam berjaya memecahkan rekod miliknya sendiri selepas melakukan angkatan seberat 308kg mengatasi catatan 300kg yang dicatatkan pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, atlet muda Nur Syazwani Radzi muncul satu-satunya pemenang pingat iaitu gangsa menerusi kategori 64kg wanita.
-- BERNAMA