Sukan SEA 2023: Batik pilihan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan rasmi

Bernama
Mei 4, 2023 09:00 MYT
Kontinjen negara bakal menggayakan batik pada majlis pembukaan rasmi Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dijadual berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, esok, kata Datuk Mohd Nasir Ali. - Gambar fail BERNAMA
PHNOM PENH: Kontinjen negara bakal menggayakan batik pada majlis pembukaan rasmi Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, dijadual berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, esok.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, busana batik bakal dipakai kontinjen negara dalam upacara yang dijangka berlangsung dengan penuh gilang-gemilang itu bercirikan warna terdapat dalam Jalur Gemilang.
Katanya, kajian juga telah dilakukan bagi memastikan pakaian tersebut tampak elegan selain selesa dipakai para atlet dan pegawai terlibat walaupun cuaca panas melanda Phnom Penh ketika ini.
"Pakaian batik ini merupakan hasil kerja beberapa orang pereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jaguh karate negara, R. Sharmendran diberi kepercayaan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi tersebut.
Seramai 677 atlet negara menyertai temasya dwitahunan tersebut kali ini manakala sebanyak 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa disasarkan dibawa pulang dari Kemboja.
Sukan SEA yang masuk edisi ke-32 itu dijadual berakhir pada 17 Mei ini. - BERNAMA
#sukan sea 2023 #Sukan SEA Phnom Penh #baju batik #kontinjen malaysia
;