Sukan SEA 2019: Skuad gimnastik berdepan laluan berliku

Astro Arena
Mei 14, 2019 17:44 MYT
Hanya empat daripada enam acara kategori wanita akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019. - Foto Stadium Astro
TIMBALAN Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Kau Git Kaur, mengumumkan hanya empat daripada enam acara kategori wanita akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan, sehingga menyukarkan misi pingat emas kem negara.
Empat acara yang dipertandingkan di Filipina bukanlah acara yang didominasi skuad gimnastik negara untuk membutirkan emas, iaitu melombol, palang tidak sejajar, senaman lantai dan batang titian.
Apa pun, bagi Git Kaur, gimnas negara tetap akan mempersiapkan diri ke temasya Filipina 2019 dengan menjadikan Kejohanan Asia di Mongolia, Terbuka Singapura dan paling hampir, Kejohanan Piala Dunia di China, minggu depan, sebagai medan terbaik untuk mengukur prestasi mereka.
"Kami merancang untuk mengadakan latihan di Jepun selama sebulan tetapi kami masih belum mendapat jawapan daripada pihak Jepun," katanya.
Buat masa ini, tujuh gimnas lelaki dan wanita saling berebut slot ke Sukan SEA 2019 dengan dua gimnas wanita, Siti Nur Bahirah Husniyah Ahmad dan Zarith Iman Zubaidi Khalid Zubaidi, masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.
"Daripada enam acara tetapi hanya empat dipertandingkan, jadi saya berasakan Filipina akan menyapu bersih setiap kejuaraan memandangkan mereka handal dalam acara yang dipertandingkan," tambahnya.
#Filipina 2019 #gimnastik #Kau Git Kaur #MGF #Persekutuan Gimnastik Malaysia #Sukan SEA
;