Sukan SEA 2019 salah satu asas penilaian atlet Program Podium
Bernama
September 28, 2019 05:33 MYT
September 28, 2019 05:33 MYT
Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini, akan menjadi salah satu asas penilaian untuk atlet negara membuktikan kemampuan mereka untuk terus kekal dalam Program Podium pada tahun depan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata, pihaknya bersama Institut Sukan Negara (ISN) telah membuat pemantauan fasa kedua bagi atlet program podium sejak Jun lepas, dan pemantauan berkenaan akan diteruskan sehingga Sukan SEA 2019.
"Kita telah buat penilaian untuk enam bulan pertama, dan penilaian enam bulan seterusnya sehingga Disember ini.
"Pencapaian sepanjang tahun ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu dan Kawalan Atlet Prestasi Tinggi yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abu Bakar," katanya, pada sidang media di sini, pada Sabtu.
Sebanyak 526 atlet normal kebangsaan kini di bawah Program Podium yang dikelolakan oleh MSN.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata jumlah saiz kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina bukan menjadi pengukur untuk meramalkan jumlah pungutan pingat.
Malah, katanya, hampir 400 atlet yang layak di bawah kategori A, dengan perbelanjaan sepenuh ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), diharap menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa manakala atlet kategori B yang tidak layak secara merit tetapi diberi peluang, perlu membuktikan bahawa pelaburan terhadap mereka berbaloi.
MOM dijangka menghantar kontinjen terbesar di luar Kuala Lumpur selepas Sukan SEA Korat 2007 dengan jangkaan 1,200 atlet dan pegawai.
Pada Sukan SEA Korat, Malaysia menyenaraikan 820 atlet dan 294 pegawai, sekali gus menjadi jumlah terbesar yang pernah dihantar di luar Malaysia.
Ahmad Shapawi menegaskan agak mustahil untuk Malaysia mempertahankan gelaran juara keseluruhan temasya Sukan SEA di Filipina memandangkan tuan rumah menggugurkan beberapa acara yang menjadi lubuk emas kepada kontinjen Malaysia sebelum ini.
Sementara itu, MSN telah menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar roti antarabangsa, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program penyelidikan, pendidikan dan pemakanan atlet.
Ahmad Shapawi menandatangani perjanjian bagi pihak MSN manakala UKM dan GBKL, masing-masing diwakili oleh Dekan Fakulti Kesihatan Sains UKM, Prof Dr Suzana Shahar dan Pengurus Besar (Pemasaran dan Perhubungan Awam GBKL, Hazlinah Harun.
Sukan gimnastik menjadi atlet perintis kepada program kerjasama berkenaan dan ia dijangka diperluaskan kepada sukan lain sekiranya ia memberi kesan efektif kepada atlet gimnastik negara.
Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini dengan melibatkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.
-- BERNAMA
#Ahmad Shapawi Ismail
#asas penilaian
#atlet
#Filipina
#Gardenia Bakeries
#kerjasama
#Majlis Olimpik Malaysia
#MSN
#pemakanan
#pemantauan
#perjanjian
#pingat
#program podium
#saiz kontinjen negara
#Sukan SEA
#Sukan SEA Korat 2007
#UKM