Sukan SEA 2017 bakal jadi temasya mesra alam - Khairy
Tan Su Lin
Ogos 22, 2016 22:14 MYT
Ogos 22, 2016 22:14 MYT
Malaysia bakal menerapkan elemen hijau dalam temasya Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung di negara, tahun depan.
Mengambil teladan daripada Sukan Olimpik di Rio de Janerio baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bakal menjadi penganjuran Sukan SEA pertama yang berkonsepkan mesra alam.
Menurut Khairy, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Tenaga, Teknologi, Hijau dan Air (KeTTHA) dan Greentech Malaysia berhubung pelaksanaan konsep berkenaan.
"Kami akan sediakan tong-tong kitar semula. Selain itu, kami akan mengamalkan langkah bagi mengurangkan pembaziran elektrik terutamanya di lokasi yang tidak digunakan. Kami juga akan ada dasar pengurusan tenaga yang lebih efisien."
"Kami juga berharap penjualan makanan dan cenderahati di tempat rasmi itu dapat mengurangkan beg plastik," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Persatuan Wanita Asia Tenggara dan Pan Pasifik yang ke-26, bertemakan 'Hormati Alam Sekitar Untuk Masa Depan Yang Aman Dan Mapan', di sini, hari ini.
Ujarnya, selain mengurangkan pencemaran, pendekatan itu bertujuan mendidik rakyat khususnya golongan belia agar memelihara alam sekitar.
"Sebabnya Sukan SEA ini akan menarik ramai rakyat Malaysia khususnya golongan belia dan apabila mereka melihat ada usaha kitar semula, mengurangkan beg plastik dan sebagainya, mereka akan rasa itu adalah sebahagian daripada kehidupan seharian mereka dan dalam temasya sukan pun kita masih menekankan aspek alam sekitar," katanya.