Sukan SEA 2001 akhiri aksi lincah dan gemalai Afrita Nasril

Harits Asyraf Hasnan
Julai 19, 2017 16:00 MYT
Penerima anugerah jurulatih gimrama terbaik di China pada tahun lalu ini membuat keputusan meninggalkan sukan itu pada usia 19 tahun. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
MEMULAKAN liuk lentok badan sejak dibangku sekolah rendah membuatkan bekas atlet gimrama kebangsaan, Afrita Ariany Nasril tidak berhasrat meninggalkan sukan kegemarannya itu walaupun terpaksa berdepan beberapa pilihan sukar.
Beliau yang merupakan penerima anugerah jurulatih gimrama terbaik di China pada tahun lalu berkata, keputusan meninggalkan sukan itu pada usia 19 tahun adalah sesuatu yang amat sukar tatkala berdepan Sukan SEA 2001.
"Sebab utama saya berhenti pada ketika itu adalah melanjutkan pelajaran. Pada masa itu, saya terpaksa pilih sama ada menyertai Sukan SEA 2001 atau melanjutkan pelajaran. Jadi, saya diberi pilihan, kalau ingin meneruskan sukan gimrama, saya kena tangguhkan pengajian saya selama dua semester atau satu tahun.
"Saya waktu itu masih budak, saya cakap OK sahaja kepada ibu bapa saya. Tapi mak saya cakap: 'Tidak...kamu kena teruskan pelajaran'. Tapi bernasib baik juga sebab saya ikut nasihat mak saya kerana acara yang sepatutnya saya sertai digugurkan akibat kurang penyertaan. Ada dua negara sahaja.
"Bayangkan kalau waktu itu saya tangguhkan pengajian, pastinya membazir. Waktu itu saya terlalu kecewa tapi ada hikmahnya juga," tambah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam jurusan Komunikasi dan Pengajian Media ini.
Namun, seringkali kekecewaan melanda jurulatih berusia 35 tahun itu apabila terpaksa melepaskan beberapa atlet cilik bimbingannya kepada pasukan kebangsaan.
Ini kerana beliau tidak dibenarkan lagi untuk mengendali atlet kebangsaan apabila tanggungjawab itu diambil alih pasukan jurulatih dari Rusia.
"Memang ada kecewa sedikit apabila mereka yang saya latih daripada bawah, selepas umur 12 tahun mereka akan melalui proses pemilihan nasional sekaligus tidak lagi berada di bawah bimbingan saya.
"Kebanyakan antara mereka akan mula menempa nama dalam kejohanan di peringkat antarabangsa ketika berumur 12 tahun ke atas namun ramai juga yang terpaksa membuat keputusan meninggalkan sukan ini kerana impak budaya dan melanjutkan pelajaran," katanya yang tidak lagi bimbang tentang masa hadapan sukan itu apabila lebih 40 atlet cilik berusia 4 hingga 11 tahun kini di bawah bimbingannya.
Berpengalaman selama 17 tahun sebagai jurulatih gimnas, Afrita berkata bagi mereka yang tidak berkecimpung dalam sukan gimrama pasti berasa gerun tatkala melihat aksi rutin harian yang perlu dilakukan bagi membolehkan badan mereka dilentur, lembut dan fleksibel.
Ketika ditemui Astro AWANI, raut wajah Afrita yang lembut kadang kala tegas seringkali dilihat masuk ke tengah gelanggang untuk memerhati dan membetulkan postur badan anak-anak didiknya.
"Gimrama melibatkan pergerakan akrobatik dan memerlukan kekuatan fizikal serta kelenturan. Jika postur dan regangan badan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, ia boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan kepada atlet ketika memulakan latihan.
"Atas faktor tersebut, sebelum menjalani latihan gimrama bersama alatan pilihan, mereka perlu fokus dan disiplin ketika memanaskan badan. Biasanya, ia mengambil masa selama tiga jam, sebelum berlatih gimrama," jelasnya.
Selain pasukan gimnas Kuala Lumpur yang membolot kesemua lima pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun lalu, Afrita juga turut pernah menyumbang khidmat bersama Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak.
Baginya, sukan ini akan kekal dalam sanubarinya walaupun temasya Sukan SEA 2001 mengakhiri aksi lincah dan gemalai serta liuk lentoknya di gelanggang antarabangsa.
#Afrita Ariany Nasril #atlet #gimrama #jurulatih #Sukan SEA
;