Sukan Perpaduan Islam: Juwaidi-Nur Aina rangkul gangsa di Konya
Bernama
Ogos 17, 2022 05:45 MYT
Ogos 17, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas membantu trio compound lelaki negara merangkul emas, pemanah berpengalaman Mohd Juwaidi Mazuki menambah kilauan pingat selepas merangkul gangsa bagi acara compound berpasukan campuran di temasya Sukan Perpaduan Islam 2021 di Konya, Turkiye.
Mohd Juwaidi, yang bergandingan dengan Nur Aina Yasmine Halim, menang tipis 153-152 ke atas pasangan Indonesia, Hendika Pratama Putra-Ratih Zilizati Fadhly.
Pasangan tuan rumah Yesim Bostan Ucar-Haney Emircan pula merangkul emas apabila mengatasi gandingan Iran, Amir Kazempour-Geesa Bybordy, 156-149.
Awal Rabu, Mohd Juwaidi yang membentuk pasukan bersama Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menumpaskan Indonesia, yang mempertaruhkan Deki Adika Hastian, Hendika Pratama Putra dan Prima Wisnu Wardhana, 229-228, untuk meraih emas acara compound berpasukan lelaki.
Edisi kelima temasya sukan itu yang membuka tirai secara rasmi pada 9 Ogos lepas dijadual berakhir hari ini.
-- BERNAMA