Sukan Paralimpik: Muhammad Imaan Aiman nyaris tarik diri
Bernama
Ogos 20, 2024 13:31 MYT
Ogos 20, 2024 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Perenang para kebangsaan, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan mengakui hampir menarik diri daripada penyertaan sulungnya pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.
Muhammad Imaan Aiman yang akan beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) berkata hasrat itu pernah terlintas dalam fikiran selepas menyedari terdapat 'cakap-cakap' di luar meragui keupayaannya untuk mewakili negara di pentas Paralimpik.
"Mulut-mulut orang ada kesan kepada mental saya sebelum ini, saya kecewa dan hampir tarik diri. Alhamdulillah saya dapat lawan balik dan kini saya rasa memang layak dapat tempat ke Paris.
"Insya-Allah (mahu buktikan kemampuan), saya minta rakyat Malaysia doakan saya dan akan cuba buat yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam di sini hari ini.
Biarpun tidak berani meletakkan sasaran ke podium, atlet berusia 18 tahun itu yang meletakkan dirinya sebagai 'underdog' berharap dapat mara ke final di Paris La Defense Arena.
PARALIMPIK-RENANG (MUHAMMAD IMAAN AIMAN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Selain impian ke final, Muhammad Imaan Aiman juga menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 1 minit 01.76 saat (s) yang dicatat pada kejohanan Siri Dunia Renang Para 2023 di Singapura.
Beliau berkata peluang berenang di Paris 2024 akan digunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri menjadi pencabar pingat pada Sukan Paralimpik seterusnya iaitu Los Angeles 2028.
Dalam pada itu, jurulatihnya Azharrudin Hashim berkata fokus utama ketika ini lebih terarah untuk menambah kekuatan serta menguatkan mental Muhammad Imaan Aiman.
Berdasarkan persediaan dijalankan oleh kem renang para negara, Subramaniam pula berkata tidak mustahil bagi Muhammad Imaan Aiman dan seorang lagi wakil Muhammad Nur Syaiful Zulkafli melakar kejutan di Paris 2024.
Muhammad Nur Syaiful, yang bakal membuat kemunculan kedua di Sukan Paralimpik selepas Tokyo 2020, dijadual bersaing dalam empat acara antaranya 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizika) dan 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).
Sebanyak 30 atlet daripada lapan jenis sukan bakal membawa cabaran negara di temasya di Paris itu.
-- BERNAMA
#Sukan Paralimpik Paris 2024
#perenang para kebangsaan
#Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan
#tarik diri