Sukan Paralimpik: Hannah optimis kontinjen negara mampu capai sasaran empat emas

Bernama
Ogos 23, 2024 10:50 MYT
Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama para atlet semasa Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh optimis kontinjen negara mampu membawa pulang empat pingat emas yang disasarkan untuk Sukan Paralimpik Paris 2024.
Hannah juga yakin barisan atlet terutamanya mereka yang sudah mempunyai pengalaman beraksi di pentas Paralimpik mampu menampilkan aksi luar biasa di Paris.
"Kita doakan berjaya (empat emas). Bagi atlet kali pertama, saya harap mereka dapatkan ketenangan dan keyakinan kerana Sukan Paralimpik merupakan platform berbeza (berbanding temasya sukan atau kejohanan lain)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Sebelum ini, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meletakkan sasaran empat emas sekali gus melengkapkan keseluruhan 10 emas diraih Malaysia sepanjang penglibatan mereka dalam Sukan Paralimpik.
Malaysia setakat ini telah mengumpul enam emas Sukan Paralimpik secara keseluruhan dengan tiga daripadanya diperoleh di Rio 2016 dan tiga lagi diraih di Tokyo 2020.
Dalam pada itu, Hannah mengingatkan kontinjen negara supaya menjaga barangan peribadi masing-masing sepanjang Sukan Paralimpik Paris 2024.
"Kebimbangan saya hanyalah satu, iaitu isu keselamatan. Para atlet harus hati-hati dengan (menjaga) barang peribadi seperti pasport dan dompet," katanya.
Sebelum ini, isu keselamatan mencemari perjalanan Sukan Olimpik Paris 2024 antaranya melibatkan dua petugas televisyen dari Australia yang mengalami kecederaan dalam kejadian cubaan rompakan berkumpulan manakala seorang wanita Australia didakwa dirogol, menurut laporan media.
Terdahulu, sebanyak 17 atlet dan 17 pegawai berlepas ke Paris dari KLIA Terminal 1 hari ini.
Malaysia menghantar 30 atlet daripada lapan jenis sukan untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan bermula 28 Ogos dan berakhir 8 Sept ini.
-- BERNAMA
#Sukan Paralimpik Paris 2024 #Hannah Yeoh #atlet para #sasaran pingat emas
;