Sukan Para Asia Hangzhou: Ziyad Zolkefli raih pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lontar peluru
Hilmi Malik
Oktober 24, 2023 19:50 MYT
Oktober 24, 2023 19:50 MYT
KUALA LUMPUR : Atlet olahraga Muhammad Ziyad Zolkelfi kekal unggul selepas berjaya mengekalkan pingat emas menerusi acara lontar peluru lelaki di Sukan Para Asia Hangzhou, pada Selasa.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Ziyad merangkul emas ketiga negara selepas acara renang dan trek berbasikal.
Ziyad, 33, memperoleh kemenangan bagi kategori F20 dengan lontarannya pada jarak 16.65 meter meninggalkan pesaingnya di tempat kedua dan ketiga.
Anak kelahiran Selangor itu turut menzahirkan kebanggaan kerana sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara.
“Saya amat berpuas hati dengan prestasi dan kemenangan saya hari ini dan pingat emas ini sudah pastinya hadiah untuk Malaysia. Saya turut berbangga kerana berjaya meraih hatrik emas dalam acara kali ini,” kata Ziyad
Ziyad meninggalkan lawannya dari Thailand, Sanepoot Boonkong dengan jarak lontaran 13.67 meter manakala pingat perak disandang rakan sepasukan, Mohamad Aliff Mohamad Awi dengan lontaran sejauh 13.75 meter.
Kejayaan penuh bergaya yang dicapai Ziyad kali ini secara tidak langsung melayakkan dirinya untuk mara ke Paralimpik Paris 2024 secara merit.
Ziyad bakal berdepan satu lagi misi besar dengan usaha merebut pingat emas di Paris bagi melenyapkan ‘mimpi ngeri’ beliau sewaktu acara Sukan Paralimpik Tokyo pada tahun 2020.
Pada acara itu, kemenangan beliau dalam merangkul pingat emas bagaimanapun dibatalkan selepas pihak lawan melakukan protes sehubungan dakwaan Ziyad lewat melaporkan diri ke bilik panggilan.
Tindakan itu juga mengakibatkan Ziyad terpaksa menyerahkan pingat ema situ kepada atlet dari Ukraine selepas beliau disahkan hilang kelayakan dari pihak juri.