Sukan Para Asia 2022: Giliran atlet 'luar biasa' bukti kehebatan

Bernama
Oktober 21, 2023 12:20 MYT
MPM tampil dengan pendekatan formula sasaran pingat tanpa warna apabila menetapkan keseluruhan 35 pingat bagi kontinjen negara ke Sukan Para Asia kali ini. - Gambar/ Bernama
HANGZHOU: Selepas 13 hari Sukan Asia 2022 menutup tirai, kini tiba giliran 113 atlet 'luar biasa' negara bagi membuktikan kehebatan mereka apabila temasya Sukan Para Asia 2022 menyingkap tirainya secara rasmi, di sini esok.
Turun dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi, hampir pasti kejutan bakal dijelmakan satu persatu atlet para negara yang akan membawa cabaran negara menerusi pembabitan dalam 14 daripada 22 sukan yang bakal dipertandingkan di bumi Hangzhou.
Acara sukan yang disertai kontinjen negara kali ini membabitkan memanah, olahraga, badminton, berbasikal, powerlifting, menembak, renang, ping pong, bola keranjang berkerusi roda, lawan pedang berkerusi roda, tenis berkerusi roda, boccia, bola sepak buta dan boling padang.
Jika pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, 15 pingat emas disasarkan namun, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tampil dengan pendekatan formula sasaran pingat tanpa warna apabila menetapkan keseluruhan 35 pingat bagi kontinjen negara ke Sukan Para Asia kali ini.
Sasaran rendah berbanding 68 pingat pada edisi lepas, dibuat bersandarkan beberapa faktor antaranya 54 atlet daripada kontinjen 113 atlet adalah muka baharu dan membuat penampilan sulung pada temasya kali ini.
Keputusan meletakkan sasaran 'rendah diri' itu diperkuat lagi setelah kontinjen negara difahamkan telah kehilangan 18 pingat ekoran acara tidak dipertanding tuan rumah kali ini serta faktor persaraan pemenang pingat sebelumnya.
Namun di sebalik keadaan itu, hampir pasti keupayaan kontinjen para negara tidak boleh dipandang remeh sekali gus mampu merealisasikan sasaran tersebut serta tidak pulang dengan tangan kosong.
Barisan atlet para dalam kem olahraga seperti Muhammad Ziyad Zolkefli sudah semestinya turun dengan misi mahu mempertahan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para Asia lepas.
Datuk Abdul Latif Romly juga mengiringi matlamat sama mahu mempertahankan emas acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) selain memperbaharui rekod dunia lompatan sejauh 7.64 meter (m) miliknya kini.
Tidak dilupakan tentang amaran dilontarkan jaguh paralifting negara Bonnie Bunyau Gustin bahawa beliau mahu mengubah perak menjadi emas bagi acara 65 kilogram (kg) pada temasya kali ini disebalik kecederaan bahu yang dialaminya.
Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou pula memasang tekad memburu emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Para Asia buat kali ketiga selepas edisi 2010 (Guangzhou) dan 2014 (Incheon) biarpun mengakui berdepan cabaran lawan lebih muda daripadanya.
Sementara perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli optimis menyumbang pingat buat negara selepas kejayaan pingat emas acara 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) selain masing-masing perak acara 100m gaya bebas lelaki S5 dan 200m gaya bebas lelaki S5, sebelum ini.
Keberadaan mereka sudah semestinya bakal menyuntik semangat kepada atlet para lain untuk sama-sama membuktikan bahawa sasaran 35 pingat itu bukan hanya sekadar nombor, malah mampu direalisasikan.
-- BERNAMA
#Sukan Para Asia #Malaysia #atlet Malaysia #jumlah pingat
;