Sukan Para Asia 2022: Bonnie mahu lunaskan misi emas di Hangzhou
Bernama
September 7, 2023 05:15 MYT
September 7, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menetapkan sasaran meraih emas sebagai misi pentingnya pada Sukan Para Asia 2022 Hangzhou di China pada 22 hingga 28 Okt depan.
Atlet kelahiran Sarawak itu berkata penampilan keduanya di temasya tersebut adalah peluang baginya memperbaiki pencapaian pada edisi Sukan Para Asia 2018 di Indonesia di mana beliau terpaksa berpuas hati meraih pingat perak bagi acara 65 kilogram (kg).
"Saya harap ada sinar pada penampilan kali ini di Hangzhou di samping mahu mengekalkan ranking sedia ada. Dengan pencapaian sebelum ini, saya sangat yakin dengan diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Para Asia 2022 Hangzhou, K.M. Rajendran di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Bonnie turut menyedari bukan tugas mudah untuk membutirkan emas di temasya itu dan tidak mahu memandang rendah kemampuan lawan khususnya daripada atlet tuan rumah.
Mengenai kecederaan bahu kiri yang dialaminya, beliau berkata ia tidak mengganggu tumpuannya bagi memenuhi misinya di Hangzhou itu serta tidak menjejaskan persiapannya ke Sukan Paralimpik 2024 Paris.
Sementara itu, Rajendran berkata sasaran pingat temasya sukan tersebut hanya akan diumumkan beberapa minggu sebelum kontinjen negara berangkat ke Hangzhou.
"Kita sudah mengadakan mesyuarat berhubung penetapan sasaran pingat namun ia masih dinilai dan akan diumumkan nanti," katanya.
-- BERNAMA