Sukan Para Asia 2018: Olahraga sasar empat emas

Astro Arena
September 7, 2018 22:35 MYT
ADNAN: Kami cuba mendapatkan emas lebih daripada itu tetapi sasaran ini dibuat berdasarkan prestasi semasa. - Astro Arena
SKUAD olahraga Para negara bersederhana dalam meletakkan sasaran pingat emas dalam Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, berbanding pencapaian 10 pingat emas temasya Incheon 2014.
Setakat ini, empat pingat emas difahamkan menjadi taruhan skuad negara di Jakarta.
Pelbagai faktor diambil kira dalam menjana sasaran awal ini seperti prestasi semasa atlet.
Malaysia juga hilang pengaruh besar dalam kejayaan temasya Incheon 2014 melalui Allahyarham Azlan Mat Lazin yang menyumbang tiga pingat emas.
"Kami belum membuat sebarang kata putus lagi cuma kami menyasarkan empat emas.
"Kami cuba mendapatkan emas lebih daripada itu tetapi sasaran ini dibuat berdasarkan prestasi semasa," ujar jurulatih para olahraga negara, Adnan Mat Ali.
Antara individu yang turut diletakkan sebagai prospek emas adalah Afiq Ali Hanafiah dalam acara 100m t12.
Namun, dia dibelenggu kecederaan lutut kiri sejak tiga minggu lalu.
"Ada sedikit kebimbingan namun proses pemulihannya di landasan tepat.
"Insya-Allah pada masa terdekat ini, dia boleh menjalani latihan seperti yang diharapkan," kata Adnan lagi.
Sementara itu, Afiq tetap percaya dengan peluangnya untuk mencabar emas dengan berkata: "Insya-Allah saya sempat beraksi di Jakarta nanti, cuma saya tidak berharap untuk merakamkan masa terpantas.
"Apapun, saya bertekad untuk membawa pulang pingat emas."
#adnan mat ali #atlet para negara #pingat emas #prospek pingat #Sukan Para Asia
;