Sukan Para ASEAN: Boling sumbang emas pertama negara
Astro Arena
Disember 4, 2015 17:18 MYT
Disember 4, 2015 17:18 MYT
Malaysia meraih emas pertama dalam temasya Sukan Para Asean kelapan melalui acara boling perseorangan campuran (lelaki dan perempuan) TPB1 menerusi Azuan Amir Hassan.
Pemain berusia 29 tahun itu mencatatkan jumlah jatuhan pin 688, iaitu lebih 18 pin berbanding pemain dari Thailand, Krisada Kietkongtawee yang terpaksa akur dengan pingat perak.
Malaysia turut menyapu pingat gangsa dalam acara itu melalui Muhamad HairulMiran yang menjatuhkan 665 pin, di Kelab Temasek, di sini.
Kategori TPB1, adalah bagi mereka yang tiada penglibatan.
"Saya memang tak sangka akan menang emas hari ini, ini adalah penampilan pertama saya di APG. Saya berterima kasih kepada jurulatih saya yang banyak membimbing saya mengenai teknik-teknik boling, bola yang sesuai digunakan dan sebagainya.
"Saya juga ingin menghadiahkan pingat ini kepada ibu, bapa dan isteri saya Nor Anisah Mohd Suhaimi yang selalui memberi motivasi dan membawa saya ke latihan setiap hari," katanya kepada Bernama selepas acara itu.
Pemenang pingat gangsa acara beregu di Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea itu akan meneruskan cabaran dalam acara beregu esok dan berpasukan pada Ahad ini.
Dalam pada itu, Malaysia turut meraih pingat perak dan gangsa dalam acara lompat jauh wanita F20 (kecacatan akal), menyaksikan Siti Noor Radiah Ismail yang mencatatkan lompatan 4.98 meter meraih perak dan gangsa milik Siti Nooriasah Mohamad Ariffin dengan lompatan 4.90m.
Rica Oktavia dari Indonesia meraih emas dalam acara itu selepas memecahkan rekod Asia dengan lompatan sejauh 5.07m, di Stadium Nasional Singapura.
Jurulatih skuad lompat jauh paralimpik negara, Mohd Syahrul Amri yang meletakkan harapan tinggi ke atas Siti Noor Radiah kecewa kerana anak buahnya tidak dapat memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia dalam temasya dua tahun itu.
"Saya memang harapkan Radiah akan memenangi pingat emas, tetapi dia tidak dapat merealisasikan impian itu. Sebelum ini, catatan terbaiknya adalah 5.16m. Harap dia akan bangkit semula," katanya.