Sukan Para ASEAN 2017: Kontinjen negara tersasar buruan 103 pingat emas
Raja Hisyam Raja Zaid
September 23, 2017 11:42 MYT
September 23, 2017 11:42 MYT
Kontinjen negara sudah boleh dikatakan tersasar dalam misi buruan 103 pingat emas pada Temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kali ini biarpun berbaki masih beberapa lagi acara pada hari terakhir hari ini.
Dengan catatan sehingga semalam Malaysia berjaya memungut 89 pingat emas dan bermungkinan hanya mampu meraih dua lagi pingat emas hari ini menerusi acara Goalball dan ping pong.
Pungutan semasa itu terlalu jauh jika dibandingkan dengan pendahulu kedudukan pungutan pingat iaitu Indonesia yang telah memungut 120 pingat emas sekalipun sememangnya Malaysia hanya mensasarkan untuk mengakhiri kejohanan selaku naib juara dari segi kedudukan keseluruhan.
Namun beberapa pencapaian atlet negara terutamanya membabitkan juara dunia termasuk Ziyad Zolkefli yang memecahkan rekod kejohanan boleh dianggap sesuatu yang membanggakan walaupun tidak memecahkan rekod dunia yang menjadi miliknya.
Satu sidang media mengenai pencapaian atlet Paralimpik negara pada temasya kali ini dijangka akan diadakan oleh Ketua pengarah Majlis Sukan Negara MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada petang ini.
Apapun sudah semestinya kita mengucapkan tahniah kepada kesemua atlet paralimpik negara yang telahpun melakukan yang terbaik dalam misi memburu pingat pada temasya kali ini.
Pencapaian terbaik skuad negara yang pernah dicatatkan sebelum ini adalah pada Sukan Para ASEAN 2009, dengan 94 pingat emas yang berlangsung di Laos.