Sukan Olimpik Tokyo: Sha'Carri Richardson digantung sebulan sebab ganja
Astro Arena
Julai 2, 2021 05:11 MYT
Julai 2, 2021 05:11 MYT
PELARI pecut Amerika Syarikat (AS), Sha'Carri Richardson, disingkirkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas pemenang pingat emas berusia 21 tahun itu diuji positif ganja.
Ketua Agensi Anti-Doping AS (USADA), Travis Tygart, merujuk insiden itu sebagai "memilukan di pelbagai lapisan", ketika mengesahkan Richardson gagal dalam ujian berkenaan dalam satu kejohanan simulasi Sukan Olimpik dianjurkan negara tersebut pada 19 Jun lalu.
Richardson mula menjalani penggantungan singkat sejak Rabu lalu. Ini bermakna dia tidak akan layak bertanding dalam temasya Tokyo 2020 yang bermula pada 23 Julai ini.
Dalam satu kenyataan, USADA berkata: "Sha'Carri Richardson -- seorang atlet olahraga bagi sukan trek dan padang telah digantung selama sebulan seperti yang tertakluk di bawah peraturan antarabangsa (Olahraga Dunia) atas pelanggaran peraturan anti-doping apabila terbukti positif dalam penyalahgunaan bahan terlarang."
Sambung Tygart pula: "Peraturannya cukup jelas dan kejadian ini meranapkan harapan di pelbagai peringkat; semoga dia bertanggungjawab dan permohonan maafnya akan menjadi contoh yang penting buat kami agar kami berjaya mengatasi keputusan yang dikesali ini walaupun harganya kepada tindakannya terlalu mahal."
Justeru. wanita kedua dunia terpantas dalam acara 100 meter itu tidak akan bersaing dalam Sukan Olimpik.
Dia mencatatkan lingkungan masa 10.80 saat sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini dengan rekod terbaiknya ialah 10.72s yang dilakukan di Florida pada April lalu.
Hanya pemain veteran Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce, lebih deras daripadanya musim ini dengan catatan 10.63s.
Sampel air kencing Richardson didapati mempunyai kandungan 'THC' yang disifatkan USADA sebagai "bahan psikoaktif utama daripada kanabis, marijuana dan hashish".
Memandangkan ia tidak memberi sebarang kelebihan dalam aspek olahraga dan menggunakannya bagi tujuan rekreasi, dia hanya dikenakan larangan selama sebulan berbanding tiga bulan memandangkan Richardson telah menghadiri program kaunseling mengenai penggunaan ganja, menurut agensi itu lagi.
Badan induk Trek dan Padang AS (USATF) bertindak balas terhadap berita larangan itu dengan menggambarkan keadaan tersebut sebagai "satu tamparan" yang dahsyat.
Dalam satu kenyataan, USATF menyatakan: "Situasi Sha'Carri Richardson sangat malang dan dahsyat bagi semua pihak yang terlibat.
"Kesihatan dan kesejahteraan atlet terus menjadi salah satu keutamaan paling kritikal USATF dan kami akan bekerjasama dengan Sha'Carri bagi memastikan dia dapat mengatasi sebarang cabaran kesihatan mentalnya ketika ini dan juga pada masa depan. "
#pelari pecut
#Sha'Carri Richardson
#Tersingkir
#Sukan Olimpik Tokyo 2020
#Olimpik Tokyo
#positif ganja
#ganja
#Agensi Anti-Doping AS
#Travis Tygart
#gagal ujian anti-doping
#bahan terlarang
#gantung
#tujuan rekreasi
#olahraga
#USATF
#Amerika Syarikat